
Laporan/foto: Khairul Shahrizal Ismail (Kuala Selangor)
KUALA SELANGOR, 13 Jul (MalaysiAktif) – Penganjuran acara tahunan Temasya Sukan Tahunan Kali Ke-58 Sekolah Kebangsaan (SK) Tambak Jawa menjadi platform memupuk budaya hidup sihat, semangat berpasukan dan daya saing dalam kalangan murid.
Pegawai Khas Parlimen Kuala Selangor Mohd Maskor Ibnu Tumiran ketika berucap merasmikan majlis tersebut berkata temasya sukan bukan sekadar medan menentukan kemenangan, sebaliknya menjadi wadah menyemai nilai murni seperti disiplin, semangat kesukanan, kerjasama dan perpaduan dalam kalangan warga sekolah.
“Diharapkan SK Tambak Jawa akan terus melahirkan murid yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, malah kokurikulum dan sukan, selaras dengan aspirasi melahirkan generasi yang seimbang dan berdaya saing,” katanya.
Pelbagai acara sukan yang dipertandingkan mendapat sambutan menggalakkan dengan sokongan padu daripada warga sekolah dan ibu bapa, sekali gus mewujudkan suasana penuh ceria serta harmoni sepanjang temasya berlangsung.
Kejayaan penganjuran temasya itu turut mencerminkan komitmen tinggi semua pihak, khususnya guru-guru, ibu bapa dan jawatankuasa penganjur yang bertungkus-lumus memastikan setiap acara berjalan lancar.
-RI






