Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

RM430.26 Juta Peruntukan KPKT Pacu Kesejahteraan dan Kelestarian Negeri Sembilan

By 1 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Khairul Othman (Negeri Sembilan)/MEDIA KPKT

SEREMBAN, 14 Jul (MalaysiAktif) – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sebanyak RM430.26 juta bagi melaksanakan 80 projek pembangunan utama di Negeri Sembilan sepanjang tempoh 2023 hingga 2026 melibatkan pelbagai inisiatif pembangunan perumahan, kemudahan awam dan kesejahteraan rakyat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata daripada jumlah tersebut, RM119.6 juta diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Rolling Plan 1 (RP1) Tahun 2026, merangkumi RM115.5 juta bagi pelaksanaan projek pembangunan KPKT serta RM4.05 juta sebagai peruntukan tambahan untuk memperkukuh agenda pembangunan perbandaran di Negeri Sembilan.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan Kerja Rasmi Sentuhan Kasih KPKT 4.0 ke Negeri Sembilan, Sabtu lalu yang turut menyaksikan penyerahan simbolik peruntukan kepada Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kerajaan Tempatan, Pembangunan Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan Arul Kumar Jambunathan, mewakili Kerajaan Negeri.

Nga Kor Ming, mendengar taklimat mengenai pelaksanaan projek pembangunan dan menaik taraf kemudahan awam ketika mengadakan Lawatan Kerja Rasmi Sentuhan Kasih KPKT 4.0 di Negeri Sembilan.

“Peruntukan ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap projek pembangunan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Pelaksanaan projek yang dirancang akan meningkatkan kualiti kemudahan awam, memperkukuh kesejahteraan komuniti dan menyokong pembangunan mampan di Negeri Sembilan,” katanya.

Menurut Nga, peruntukan tersebut meliputi pelaksanaan Program Residensi Rakyat (PRR), Rumah Mesra Rakyat (RMR), penyelenggaraan perumahan strata menerusi Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) serta Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP).

Selain itu, peruntukan berkenaan turut digunakan bagi memperkukuh pengurusan sisa pepejal secara mampan, menaik taraf pasar, gerai dan dewan masyarakat, membina balai bomba baharu, membangunkan Kampung Baru serta melaksanakan penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) bagi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat.

-RI

Tinggalkan komen anda