Skip to main content
Berita TempatanSabah

Ingat Hari Jadi, Ingat Doktor Gigi

By 8 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rosnaniwati Rasidi/Mohd Fadzhel Ramneh (Kota Belud)

KOTA BELUD, 13 Jul (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Sabah akan sentiasa menyokong setiap usaha yang dilaksanakan untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan termasuk isu kesihatan pergigian yang perlu beri penekanan di peringkat awal kanak-kanak.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Mojungki berkata, komitmen juga perlu diberikan kepada langkah untuk meluaskan akses perkhidmatan pergigian khususnya kepada masyarakat luar bandar dan pedalaman.

“Kesihatan pergigian merupakan tanggungjawab dan kerjasama semua. Pendidikan awal kesihatan anak-anak sejak usia muda lagi akan membantu melahirkan generasi yang lebih sihat dan berkualiti pada masa hadapan.

“Saya menyeru agar setiap individu menjadikan pemeriksaan pergigian sekurang-kurangnya sekali setahun sebagai amalan rutin, manakala ibu bapa pula membudayakan penjagaan kesihatan mulut dalam kalangan anak-anak sejak usia muda,” katanya semasa Majlis Perasmian Minggu Promosi Kesihatan Pergigian (MPKP) 2026 Negeri Sabah semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Rina Jainal.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian), Doktor Thaddius Herman Maling berpesan agar masyarakat menjadikan tarikh ulang tahun kelahiran sebagai tarikh pemeriksaan tahunan kesihatan gigi.

“Betapa pentingnya menjaga kesihatan mulut dan juga kesihatan gigi, dapatkan rawatan berkala sekurang-kurangnya sekali setahun setiap kali hari jadi, ‘ingat hari jadi, ingat doktor gigi’ serta mengamalkan memberus gigi dua kali sehari untuk kesihatan gigi dan kesihatan mulut.

“Tema pada tahun ini iaitu ‘tiada kesihatan tanpa kesihatan pergigian’ kerana kesihatan mulut merupakan sebahagian penting daripada kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan seseorang,” ujarnya lagi.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang kempen promosi antaranya rawatan pergigian bergerak, ‘wellness on wheels’, derma darah, saringan kesihatan, pameran kesihatan, Jualan Rahmah MADANI dan pertandingan Fun Walk.

-RJ-

Tinggalkan komen anda