Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

TOK 2026 Tarikan Baharu, Tampil Pengisian Budaya 

By 17 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zulkarnain Rodzi (Kedah)

ALOR SETAR, 14 Jul (MalaysiaAktif) – Temasya Orang Kedah (TOK) 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula 30 Julai hingga 2 Ogos ini akan menampilkan pelbagai pengisian seni, budaya dan warisan sebagai usaha mempromosikan pelancongan budaya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Program yang dijadual disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Kedah pada jam 8.45 malam, Jumaat 31 Julai ini  merupakan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kerajaan Negeri Kedah, Kedah Tourism dan Nabilah Bahrin Group Sdn. Bhd. bertujuan memartabatkan warisan seni dan budaya negeri di samping mengukuhkan Kedah sebagai destinasi pelancongan budaya negara.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris berkata TOK 2026 dijangka membantu merancakkan aktiviti ekonomi masyarakat tempatan.

“Penganjuran TOK 2026 bukan sahaja bertujuan untuk melestarikan warisan budaya Kedah, tetapi juga membantu memperkukuh sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.

“Ia juga sebagai platform utama dalam mengekalkan identiti budaya tempatan selain mengukuhkan seni dan budaya,” katanya pada Sidang Media TOK 2026, di sini semalam.

Temasya di Pekarangan Stadium Darul Aman menghimpunkan pelbagai elemen budaya dan warisan masyarakat Kedah dalam satu platform bagi memperkenalkan produk pelancongan budaya, memperkasakan aktiviti seni warisan serta meningkatkan penglibatan masyarakat dalam usaha memelihara identiti budaya tempatan.

Antara tarikan baharu yang diperkenalkan pada edisi kali ini ialah Persembahan Silat Fusion yang menggabungkan Kumpulan Kesenian JKKN bersama Kumpulan Satelit Negeri Kedah, demonstrasi masakan tradisional daripada sembilan daerah di Kedah serta Mini Pavilion melibatkan penyertaan agensi kerajaan, sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seni budaya.

Sepanjang empat hari penganjuran, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Malam Gema Selawat, Cita Rasa Warisan Orang Kedah, Let’s Maze Heritage yang menampilkan permainan tradisional termasuk batu seremban, guli, jengket, lompat getah dan tuju tin, selain Pameran Tanjak dan Keris.

Beberapa pertandingan turut diadakan termasuk Pertandingan Gema Qasidah, Pertandingan Kukur Nyior, Pertandingan Memasak, Pertandingan Peragaan Busana Watak Mek Mulung serta Lenggok Orang Kedah 3.0.

TOK 2026 itu juga bakal dimeriahkan dengan kerjasama Fantastic Food Festival by Kak Nab yang mengetengahkan pelbagai festival makanan tular serta penyertaan pempengaruh media sosial dan pencipta kandungan TikTok bagi menarik lebih ramai pengunjung sepanjang program berlangsung.

-RI

Tinggalkan komen anda