Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Kursus Pembuatan Lipstik Komuniti MADANI Bandar Damai Perdana Perkasa Wanita, Jana Pendapatan

By 4 minutes yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salehuddin Klewan/Nor Juliana Jamri (Hulu Langat)

CHERAS, 14 Jul (MalaysiaAktif) – Kerajaan sentiasa komited memperkasa golongan wanita menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong Ong Chun Wei.

“Wanita merupakan aset penting dalam pembangunan masyarakat. Kerajaan sentiasa menyokong pelaksanaan program pembangunan kemahiran seperti ini kerana ia bukan sahaja meningkatkan pengetahuan, malah mampu membuka peluang keusahawanan dan menjana pendapatan kepada peserta,” katanya pada majlis penutup Kursus Pembuatan Produk Kecantikan Lipstik di Dewan Ahli Majlis MPKj Zon 6, Bandar Damai Perdana, di sini kelmarin.

Kursus anjuran Komuniti MADANI Bandar Damai Perdana itu disertai seramai 40 wanita daripada pelbagai kaum.

Sementara itu, Ketua Komuniti MADANI Bandar Damai Perdana Senator Thiagarajah Rajagopal berkata penganjuran kursus tersebut merupakan antara usaha Komuniti MADANI dalam memperkasakan masyarakat setempat melalui pembangunan kemahiran yang bersifat inklusif.

“Komuniti MADANI bukan sekadar menjadi platform penyampaian maklumat kerajaan, malah berperanan membawa program yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

“Melalui kursus seperti ini, peserta bukan sahaja memperoleh ilmu baharu, malah berpotensi menjadikan kemahiran yang dipelajari sebagai sumber pendapatan tambahan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya merancang lebih banyak program pembangunan kemahiran serta keusahawanan khususnya untuk golongan wanita pada masa hadapan.

Dalam pada itu, beberapa peserta yang ditemui melahirkan rasa syukur dan teruja kerana diberi peluang mengikuti kursus berkenaan.

Hamimah berharap lebih banyak kursus berorientasikan kemahiran dapat dianjurkan bagi memperkasakan wanita, khususnya suri rumah dan pesara.

Sarojini Somasundram, 50, yang merupakan suri rumah tidak menyangka mampu menghasilkan lipstik sendiri selepas mengikuti latihan selama beberapa jam.

“Saya sangat gembira kerana dapat menyertai kursus ini. Banyak ilmu baharu yang saya pelajari dan saya berharap lebih banyak program seperti ini dapat dianjurkan untuk membantu wanita menambah kemahiran,” katanya.

Bagi bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Hamimah Alwi, 60, kursus berkenaan membuka ruang kepada peserta untuk meneroka bidang keusahawanan.

“Walaupun saya telah bersara, peluang seperti ini amat bermakna kerana ia memberi pendedahan kepada kemahiran yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian atau dijadikan sebagai sumber pendapatan sampingan,” katanya.

Sementara itu, Koh Set Ngin, 67, turut menyifatkan kursus tersebut sebagai platform yang berjaya menghimpunkan peserta daripada pelbagai kaum dalam suasana harmoni.

“Saya berasa bertuah kerana dipilih mengikuti kursus ini. Selain belajar menghasilkan produk kecantikan, kami juga dapat berkenalan dan berkongsi pengalaman dengan peserta daripada pelbagai latar belakang.

“Saya berharap lebih banyak kursus seperti ini akan diadakan pada masa akan datang,” katanya.

Program berkenaan mencerminkan komitmen Komuniti MADANI Bandar Damai Perdana dalam memperkasa masyarakat melalui pembelajaran sepanjang hayat, selain menggalakkan penyertaan wanita dalam bidang pembangunan kemahiran dan keusahawanan yang mampu meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti.

-RI

Tinggalkan komen anda