
Laporan/foto: Herlina Zakaria/Selangor Royal Office (Selangor)
KLANG, 15 Jul (MalaysiaAktif) – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu Kerajaan Negeri Selangor mengadaptasi teknologi tebatan banjir yang dilaksanakan di Singapura.
Menurut kenyataan Facebook Royal Selangor Office antara perkara yang menarik perhatian baginda dalam sesi pertemuan dengan Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam di Istana Alam Shah, di sini semalam ialah keberkesanan teknologi tebatan banjir yang dilaksanakan di Singapura, selain kaedah pembersihan sungai dan pendekatan pembangunan alam sekitar yang mampan.
“Baginda menzahirkan harapan agar Kerajaan Negeri Selangor dapat mempelajari serta mengadaptasi model pembangunan dan teknologi yang diguna pakai oleh Singapura bagi memperkukuh usaha menangani isu banjir di negeri ini,” menurut kenyataan itu.
Turut berangkat mengiringi baginda Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Sesi pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu turut membincangkan pelbagai aspek merangkumi ekonomi dan pembangunan Selangor dan Singapura.
-RI




