Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Kerajaan Negeri Pahang Salur RM10,000 Kepada PIBG SMK Seri Bentong

By 33 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Azree Zaki (Bentong)

BENTONG, 16 Jul (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Pahang terus memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan pendidikan apabila menyalurkan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bentong bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti dan program pendidikan di sekolah berkenaan.

Sumbangan tersebut disampaikan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SMK Seri Bentong Kali Ke-29 yang disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan SMK Seri Bentong, di sini kelmarin.

Dalam ucapan perasmiannya, Wan Rosdy berkata Kerajaan Negeri sentiasa memberi keutamaan kepada sektor pendidikan melalui pelbagai bantuan dan peruntukan kerana bidang tersebut merupakan antara agenda penting dalam pembangunan negeri.

“PIBG merupakan platform terbaik untuk memperkukuhkan permuafakatan demi memastikan pelajar memperoleh pendidikan yang berkualiti serta persekitaran pembelajaran yang kondusif,” katanya.

Menteri Besar Pahang turut meluangkan masa beramah mesra dengan para hadirin.

Beliau turut menyeru semua pihak agar terus berganding bahu dalam merealisasikan aspirasi pendidikan negara serta menyokong pelbagai inisiatif yang mampu meningkatkan pencapaian murid dan kecemerlangan institusi pendidikan di negeri Pahang.

Sementara itu, Pengetua SMK Seri Bentong Rohani Abu Bakar berkata kejayaan sekolah merupakan hasil usaha bersepadu antara pihak sekolah, PIBG, ibu bapa serta sokongan berterusan Kerajaan Negeri Pahang.

“Anak Pahang sangat bertuah kerana kerajaan negeri komited dalam menjaga kebajikan anak Pahang, khususnya dalam sektor pendidikan,” katanya.

Menurut beliau, sokongan padu daripada semua pihak menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai program yang memberi manfaat kepada warga sekolah, sekali gus memperkukuh kecemerlangan pendidikan.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abd. Razak, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang Datuk Amizar Abu Adam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai V. Arumugam serta ketua-ketua jabatan.

-RI

Tinggalkan komen anda