
Laporan/foto: Lyana Athirah (Kota Setar)
ALOR SETAR, 16 Jul (MalaysiaAktif) – Program Merentas Desa yang dianjurkan oleh Kolej Tingkatan Enam Alor Setar (KTEAS), semalam berjaya menghimpunkan warga kolej dalam usaha membudayakan gaya hidup sihat dan cergas menerusi pelbagai aktiviti kecergasan, sekali gus menggalakkan keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan kesihatan fizikal pelajar.
Pengetua Md Roslan Zainol berkata pelaksanaan program seumpama itu merupakan satu inisiatif penting bagi menyuntik semangat baharu dalam kalangan pelajar serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga kesihatan melalui aktiviti fizikal.
“Para pelajar tidak seharusnya hanya memberikan fokus kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu menyeimbangkannya dengan penglibatan dalam aktiviti fizikal yang menyihatkan tubuh badan,” katanya.

Warga pendidik dan para pelajar sejurus selesainya Program Merentas Desa KTEAS.
Beliau turut turun padang menyertai sesi senam sihat bersama para pelajar sebagai tanda sokongan terhadap usaha membudayakan amalan hidup sihat dalam kalangan warga kolej.
Program dimulakan dengan sesi pemanas badan selama 30 minit yang dikendalikan oleh jurulatih dari Jabatan Kesihatan Negeri Kedah bagi memastikan peserta bersedia sebelum menjalani aktiviti utama.
Seterusnya, para pelajar menyertai acara larian merentas desa sejauh 2.5 kilometer yang melalui laluan di sekitar kawasan KTEAS dalam suasana penuh semangat dan kerjasama.
Penganjuran program ini bukan sahaja dapat meningkatkan tahap kecergasan fizikal pelajar, malah turut memupuk disiplin, daya tahan serta semangat kesukanan, selaras dengan usaha melahirkan generasi yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan kesihatan.
-RI




