
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Tanah Merah)
TANAH MERAH, 23 Jul (MalaysiaAktif) – Kesihatan mental yang tidak ditangani dengan baik boleh meningkatkan risiko seseorang untuk bertindak di luar kawalan, termasuk perkara yang membahayakan diri sendiri.
Pegawai Kesihatan Daerah Tanah Merah, Dr. Nik Aida Nik Adib berkata individu yang mengalami tekanan emosi berpanjangan berisiko hilang pertimbangan sehingga mengambil tindakan tanpa memikirkan kesannya.
“Seseorang yang kelihatan tenang mungkin sedang memendam tekanan yang besar. Keadaan ini menjadi cabaran kepada semua pihak untuk mengesan dan membantu mereka lebih awal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Larian Jelajah Obor Kesihatan Mental Peringkat Daerah Tanah Merah 2026 di Dataran Sri Pechong, di sini hari ini.
Beliau berkata kesihatan mental yang baik membolehkan seseorang mengurus emosi, berinteraksi secara positif dengan masyarakat serta berkembang dalam persekitaran yang sihat dan penuh kasih sayang.
Sementara itu, Pakar Kesihatan Mental dari Pusat Kesihatan Batu Gajah, Dr. Nik Shamila Nik Yusduf menggesa orang ramai mendapatkan bantuan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gangguan emosi atau mental.
Program anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Tanah Merah dengan kerjasama beberapa agensi itu menghimpunkan lebih 300 peserta terdiri daripada penjawat awam, pemimpin masyarakat dan orang ramai bagi meningkatkan kesedaran serta mengurangkan stigma terhadap kesihatan mental.
-FN




