
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)
SHAH ALAM, 24 Jul (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Selangor memperuntukkan RM40.56 juta bagi melaksanakan Pelan Mitigasi Banjir Langkah Segera dan Langkah Sederhana di kawasan khas serta berisiko banjir sekitar Petaling Jaya.
Pelan itu melibatkan pelaksanaan 39 skop kerja yang dijangka mampu mengurangkan risiko banjir kilat, selain meningkatkan kesiapsiagaan penduduk menghadapi cabaran perubahan iklim.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemajuan Infrastruktur Negeri Selangor Datuk Ir. Izham Hashim berkata inisiatif tersebut dilaksanakan di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan merupakan langkah proaktif kerajaan negeri dalam menangani kejadian banjir kilat yang semakin kerap berlaku akibat perubahan iklim, pembangunan pesat dan taburan hujan berintensiti tinggi.
“Pelaksanaan pelan mitigasi ini dijangka dapat mengurangkan risiko banjir, di samping meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan daya tahan bandar dalam menghadapi cabaran perubahan iklim,” katanya pada sidang media, di sini semalam.
Mengulas lanjut, katanya skop kerja yang dilaksanakan merangkumi kerja menaik taraf dan meningkatkan kapasiti sungai, pembinaan struktur saluran keluar, penyelenggaraan sistem saliran, sungai serta kolam takungan banjir.
Selain itu, jelas beliau sistem siren amaran banjir turut akan dipasang di beberapa lokasi kritikal yang dikenal pasti, termasuk Seksyen 51A, Kampung Cempaka dan Jalan PJU 1A/4F (Terowong FAS).
“Bagi Langkah Segera, sebanyak 13 kerja akan dilaksanakan dengan kos RM9.15 juta, manakala Langkah Sederhana melibatkan 11 kerja dengan kos RM6.5 juta.
“Pelan mitigasi itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara JPS, MBPJ, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta agensi-agensi teknikal berkaitan bagi memastikan setiap projek dapat dilaksanakan secara berkesan mengikut keutamaan,” ujarnya.
Katanya, kerajaan negeri komited melaksanakan pengurusan banjir secara bersepadu melalui langkah jangka segera, sederhana dan panjang, termasuk pemantauan berterusan bagi memastikan peruntukan dimanfaatkan secara optimum.
-RI




