Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPutrajaya

ABIM Serah Memorandum Pertahan Pendirian Malaysia Terhadap Israel

By 13 seconds yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Latihan/foto: Faizal Nazmi/ABIM

KUALA LUMPUR, 25 Jul (MalaysiaAktif) – Penyerahan memorandum bantahan terhadap campur tangan Kongres Amerika Syarikat (AS) berhubung pendirian Malaysia terhadap Israel selari dengan ketegasan Kerajaan MADANI mempertahankan kedaulatan negara dan dasar luar yang konsisten seperti ditegaskan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata memorandum itu diserahkan sebagai bantahan terhadap surat yang dikeluarkan lapan ahli Kongres AS yang mempertikaikan keputusan Malaysia tidak membenarkan rakyat Israel memasuki negara ini serta menggesa agar kerjasama tertentu antara kedua-dua negara ditamatkan.

Beliau berkata tuntutan tersebut disifatkan sebagai tindakan yang tidak menghormati prinsip undang-undang antarabangsa dan kedaulatan sesebuah negara kerana Malaysia sememangnya tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel sejak sekian lama.

“Dasar ini bukan baharu. Pasport Malaysia sendiri secara jelas menyatakan bahawa ia sah digunakan di semua negara kecuali Israel. Ini merupakan pendirian yang telah diamalkan sejak berpuluh-puluh tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Malaysia Aktif selepas Perhimpunan Menghantar Memorandum Bantahan Campur Tangan Amerika Syarikat di hadapan kedutaan negara Uncle Sam itu, di ibu negara, semalam.

Menurut Ahmad Fahmi, memorandum itu turut menegaskan bahawa Malaysia berhak menentukan dasar berkaitan kemasukan warga asing tanpa campur tangan mana-mana pihak luar.

Beliau berkata tindakan beberapa ahli Kongres AS itu juga dilihat berkemungkinan mempunyai kaitan dengan pertimbangan politik domestik menjelang pilihan raya negara berkenaan pada November ini.

“Walaupun surat itu dibawa oleh sebahagian ahli Parti Demokrat, kita melihat pengaruh pelobi pro-Israel dalam kedua-dua parti utama di Amerika Syarikat masih kuat.

“Kita juga melihat tindakan ini seolah-olah cuba mengalih perhatian masyarakat antarabangsa daripada isu genosid yang sedang berlaku di Palestin serta pendirian tegas Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bantahan Malaysia terhadap Israel tidak seharusnya disalah tafsir sebagai anti-Semitisme.

“Kita tidak membenci sesuatu bangsa atau kaum. Yang kita bantah ialah tindakan rejim Zionis Israel yang melakukan penindasan, penjajahan dan pembunuhan terhadap rakyat Palestin. Kita mahu keadilan dan pertanggungjawaban ditegakkan,” katanya.

Beliau berkata isu mempertahankan kedaulatan negara dan menolak campur tangan asing merupakan perkara yang melangkaui kepentingan politik dan wajar mendapat sokongan semua pihak.

“Jika negara lain berhak menentukan siapa yang boleh memasuki negara mereka atas faktor keselamatan dan kedaulatan, Malaysia juga mempunyai hak yang sama untuk melaksanakan dasar tersebut berdasarkan kepentingan nasional,” katanya.

Ahmad Fahmi berkata ABIM berharap memorandum yang diserahkan itu akan dibawa ke perhatian pentadbiran AS sebagai penegasan bahawa Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan negara serta konsisten dengan pendiriannya terhadap isu Palestin dan Israel.

Terdahulu, Anwar menegaskan Malaysia kekal dengan pendirian tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel serta akan terus mempertahankan hak sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat untuk menentukan pendiriannya sendiri tanpa tunduk kepada sebarang tekanan asing, di samping konsisten mengecam kezaliman dan penjajahan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
-FN

Tinggalkan komen anda