Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Tiga Premis Berhampiran Pasar Borong Selangor Musnah Dalam Kebakaran

By 26 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)

SHAH ALAM, 25 Jul (MalaysiaAktif) – Tiga premis berhampiran Pasar Borong Selangor musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 10 malam kelmarin selepas premis berkenaan ditutup, namun kejadian itu tidak menjejaskan operasi pasar borong berkenaan.

Premis yang terlibat ialah sebuah kedai perkakasan (hardware), kedai telur dan kedai barangan dapur yang terletak di sebelah Pasar Borong Selangor, manakala kawasan utama pasar tidak terlibat dalam kebakaran.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata pihak bomba tiba di lokasi kira-kira jam 11 malam sebelum berjaya mengawal kebakaran.

Menurutnya, operasi pemadaman diteruskan sepanjang malam dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya sekitar jam 6 pagi.

“Pasukan forensik bomba sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran. Setakat ini, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu tidak menjejaskan operasi Pasar Borong Selangor kerana kawasan utama pasar tidak terlibat dalam kebakaran.

“Bekalan barangan dan urusan jual beli di Pasar Borong Selangor berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan,” katanya kepada media semalam.

Izham berkata, pihak pengurusan pasar sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan kawasan berkenaan terus terpelihara.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana operasi harian pasar diteruskan seperti biasa, manakala siasatan lanjut berhubung insiden itu masih dijalankan oleh pihak bomba.

-AA-

Tinggalkan komen anda