
Laporan/foto: Mohd Hafiz Jonidi (Marudi)
MARUDI, 26 Jul (MalaysiaAktif) – Penganjuran acara sukan air berprestij antarabangsa tidak sekadar memulihara warisan budaya, sebaliknya terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi komuniti serta merancakkan sektor pelancongan setempat.
Kesan positif itu dapat dilihat menerusi penganjuran Baram Regatta 2026 apabila Tebingan Marudi dibanjiri pengunjung, sekali gus memberi limpahan rezeki kepada peniaga tempatan menerusi operasi 147 gerai jualan sepanjang festival tersebut berlangsung, di sini kelmarin.
Pengerusi Belia Marudi merangkap Ketua Penyelaras Perlumbaan Bot Laju Baram Regatta 2026, Ferly Vidiawan Jaafar berkata festival ikonik Sarawak itu terus cemerlang menghimpunkan peserta sukan air dari dalam dan luar negara.
Menurutnya, kejayaan penganjuran edisi tahun ini turut diukur menerusi aspek keselamatan apabila kesemua acara perlumbaan berlangsung dengan lancar tanpa sebarang kemalangan yang serius.
Acara yang paling dinanti-nantikan adalah perlumbaan bot laju yang menghimpunkan 116 buah bot membabitkan 64 pasukan dari seluruh Sarawak dan Brunei.
Lebih menarik, kategori bot laju 50 kuasa kuda turut diperkenalkan buat julung kalinya berikutan sambutan yang menggalakkan daripada peminat sukan berkenaan.
Kategori baharu itu telah diungguli oleh Jacob Baleng Racing Team (JBRT) dari Kapit yang dipandu oleh Kassim Jaafar, 48, selepas beliau berjaya memintas Raja Kerbau Racing Team dari Brunei pada saat-saat akhir perlumbaan.

Kassim Jaafar dari pasukan JBRT menunjukkan piala mereka selepas memenangi kategori bot laju 50 kuasa kuda yang julung kalinya diperkenalkan pada Baram Regatta 2026.
“Perlumbaan ini bukan sekadar menguji kemampuan jentera, malah menuntut keberanian dan ketahanan mental kerana setiap selekoh serta perubahan arus sungai mampu menentukan kemenangan atau kekalahan,” kata Kassim kepada Malaysia Aktif, di sini kelmarin.
Selain perlumbaan bot laju, pengunjung turut disajikan dengan perlumbaan perahu kayuh, pertandingan perahu berhias, Ratu Baram Regatta dan Bintang Baram Regatta yang terus menyemarakkan lagi sambutan serta memperkenalkan keunikan budaya masyarakat Baram.
-RJ-




