Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Individu Direman Empat Hari Bantu Siasatan Muat Naik Hantaran Hina Islam Di Facebook

By 37 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)/Polis Johor

JOHOR BAHRU, 26 Jul (MalaysiaAktif) – Polis Johor menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang disyaki memuat naik hantaran di Facebook mengandungi unsur hasutan serta menghina agama Islam dalam satu operasi di sekitar Iskandar Puteri, semalam.

Ketua Polis Johor, Dato’ Ab Rahaman Arsad berkata, tangkapan dilakukan susulan satu laporan polis yang diterima pada jam 12.38 pagi, 24 Julai daripada seorang lelaki tempatan berhubung satu hantaran tular di Facebook.

“Semakan mendapati pemilik akaun Facebook, “Fadzil Zahari” telah berkongsi beberapa gambar tangkap layar yang didakwa dimuat naik oleh pemilik akaun yang dikenali sebagai “Parthiban Ragu” yang mengandungi kata-kata bersifat menghina agama Islam serta ungkapan yang didakwa menghina Allah S.W.T dan Nabi Muhammad S.A.W,” katanya menerusi kenyataan media, semalam.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri berjaya menahan suspek pada jam 1 pagi, 25 Julai 2026.

“Pemeriksaan telah dijalankan ke atas suspek dan hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan pihak polis juga turut merampas dua buah telefon bimbit bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 298 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyentuh atau membangkitkan isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam.

-AA-

Tinggalkan komen anda