
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 26 Jul (MalaysiaAktif) – Penguasaan kemahiran teknologi digital dan pengukuhan asas pendidikan amat penting bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak tercicir daripada arus pembangunan semasa.
Ahli Parlimen Sri Aman Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata transformasi digital bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan mendesak bagi memastikan komuniti itu mampu bersaing dan meneroka peluang ekonomi baharu.
“Dalam dunia hari ini, hampir semua urusan berada di hujung jari melalui teknologi digital. Pendedahan kepada platform dalam talian berupaya mengembangkan perniagaan komuniti bagi meningkatkan pendapatan.
“Pada masa sama, pendidikan kekal sebagai asas utama dalam membentuk modal insan yang berilmu serta pelaburan berpanjangan untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Dagang Digital dan Projek Pensel anjuran Pertubuhan Rangkaian Pemerkasaan dan Kelestarian Wanita (WESNA) di Rumah Panjang Rokiah Banseng, di sini semalam.
Menyentuh mengenai Projek Pensel, Doris menyifatkan inisiatif itu sebagai pelengkap usaha membudayakan amalan membaca serta pembelajaran sepanjang hayat, bermula daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah peningkatan kemahiran literasi dewasa dan warga emas.
Sementara itu, Penaung Projek Pensel, Norina Umoi Utot menjelaskan projek berkenaan bermula di Surabaya, Indonesia pada 2013 sebelum diperkenalkan di Malaysia dua tahun kemudian bagi menyediakan alat tulis kepada kanak-kanak kurang berkemampuan.
Katanya, projek tersebut kini semakin berkembang menjadi platform sokongan pendidikan yang menawarkan bantuan kelengkapan, insentif pelajar, kelas tuisyen bahasa Inggeris percuma serta kelas literasi asas.
-RJ-




