Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Pembelian Hasil Tempatan Jana Pendapatan Petani, Rancak Ekonomi Luar Bandar

By 37 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sufe Fuddin/ Mahazir Abu Hassan (Kuala Muda)

SUNGAI PETANI, 27 Jul (MalaysiaAktif) – Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan dan Sayur-sayuran Tempatan Peringkat FAMA Negeri Kedah 2026 bertujuan menggalakkan masyarakat mengamalkan pemakanan sihat di samping menyokong hasil pertanian tempatan.

“Setiap pembelian hasil tempatan bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan, malah membantu meningkatkan pendapatan petani dan merancakkan ekonomi luar bandar,” kata Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Kedah Shaiful Azhar Zolkipli di lokasi program, perkarangan Pejabat FAMA Daerah Kuala Muda, di sini semalam.

Beliau turut menyeru agar menjadikan amalan makan buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan sebagai budaya hidup sihat.

Menurutnya, FAMA telah melakukan pelbagai ikhtiar bagi menarik penyertaan masyarakat dan mempromosikan hasil pertanian tempatan seperti penganjuran kempen tersebut.

“Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang program, antaranya jualan buah-buahan tempatan, jualan durian, jualan daging, jualan ayam serta pelbagai produk agromakanan pada harga berpatutan,” katanya.

Beliau berkata FAMA turut menganjurkan beberapa pertandingan interaktif yang melibatkan penyertaan pengunjung seperti pertandingan makan buah terpantas, pertandingan teka buah, pertandingan gubahan buah dan pertandingan teka rasa ulam.

Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan dan Sayur-sayuran Tempatan Peringkat FAMA Negeri Kedah 2026 perkarangan Pejabat FAMA Daerah Kuala Muda memberi peluang usahawan dan petani tempatan memasarkan hasil pertanian mereka.

Sementara itu, salah seorang pengunjung, Shukri Saad, 61, menyifatkan program berkenaan sebagai inisiatif yang bermanfaat kerana mampu menggalakkan orang ramai menikmati buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan, selain membantu mempromosikan hasil pertanian keluaran tempatan.

Katanya, penganjuran program seumpama itu wajar diteruskan kerana bukan sahaja meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemakanan sihat, malah memberi peluang kepada usahawan dan petani tempatan memasarkan hasil keluaran mereka secara lebih meluas.

Penganjuran kempen ini diharap dapat memperkukuhkan budaya pemakanan sihat dalam kalangan masyarakat, meningkatkan sokongan terhadap produk pertanian tempatan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi agromakanan melalui peningkatan pendapatan usahawan dan petani tempatan.

Turut hadir Timbalan Pengarah Sekuriti Makanan dan Operasi FAMA Negeri Kedah Hasrol Nizam Zuki, Timbalan Pengarah Pembangunan Industri Agromakanan FAMA Negeri Kedah Nasriah Sidek dan Pegawai FAMA Daerah Kuala Muda Nurshafaiza Abu Bakar.

-RI

Tinggalkan komen anda