
Laporan oleh Suzilawati Kamarudin & Daniel Jong / Foto: Jamilah Sulaiman Nasution (Rantau)
RANTAU, 13 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 1,000 pelajar daripada 22 sekolah rendah dan menengah di sini menerima pakaian seragam serta bantuan kelengkapan persekolahan, semalam.
Seorang penerima sumbangan yang ditemui Malaysiaaktif, Norziah Rosli, berharap program sebegini diteruskan pada tahun akan datang.
Katanya, sumbangan tersebut dapat membantu menambah pakaian sekolah anaknya yang juga pelajar di Sekolah Menengah Kebangsan Dato’ Shamsudin Nain.
Seorang lagi penerima bantuan, Tan Boon Geok, turut mengucapkan terima kasih atas bantuan yang diberikan.
“Penyampaian bantuan pada hari ini telah membuktikan bahawa kerajaan yang sedia ada memang sebuah kerajaan yang prihatin terhadap semua kaum di negara ini,” katanya.
Para pelajar masing-masing menerima dua pasang pakaian seragam sekolah, sepasang kasut dan sepasang seluar sukan daripada PLUS Malaysia Berhad (PLUS) di majlis serahan bantuan tajaan PLUS.
Majlis yang diadakan sempena program ‘Kembali Ke Sekolah 2017’ ini disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Program Tanggung Jawab Sosial Korporat (CSR) PLUS ini memasuki tahun ketiga sejak 2014 dengan membelanjakan kira-kira RM5.4 juta untuk menyediakan kelangkapan persekolahan kepada 28,000 pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh negara.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Mohammad Fuad Khusairi, berharap agar sumbangan ini dapat menyuntik dan mambakar semangat pelajar agar lebih cemerlang dalam pelajaran.
“Pada tahun ini PLUS sekali lagi berpeluang untuk menyampaikan sumbangan kelengkapan persekolahan kepada para pelajar di DUN Rantau bagi membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dalam mempersiapkan anak-anak untuk sesi persekolahan pada tahun ini, dengan sumbangan ini saya percaya ia akan menjadi tambahan kepada uniform dan kelengkapan sekolah sedia ada,” katanya.
Turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Rusni Abdul Jalil.