Skip to main content
Berita TempatanSabah

Wartawan Didedahkan Cabaran Fotografi Dasar Laut

By 6 Oktober 2017Julai 25th, 2018Tiada komen5 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Azman Jumat  (Sabah)

KOTA KINABALU, 6 Okt (Malaysiaktif) – Tawaran sebuah syarikat skuba di sini pada Khamis seperti ‘pucuk dicita, ulam mendatang’ bagi seorang jurufoto merasai perbezaan cabaran sebagai jurufoto dasar laut.

Pemilik Try Scuba Sdn Bhd, Rudy Matahari, 51, yang juga merupakan penyelam berpengalaman selama 26 tahun berkata keindahan alam dasar laut perlu diperkenalkan kepada masyarakat terutama anak cucu. Oleh itu, dia terpanggil untuk mengajak jurufoto lain untuk menjelajah dan merasai sendiri cabaran-cabaran jurufoto dasar laut.

Rudy memastikan peralatan skuba berada dalam keadaan yang baik sebelum memulakan aktiviti.

Rudy memastikan peralatan skuba berada dalam keadaan yang baik sebelum memulakan aktiviti.

Deruan bot dua enjin pada pagi itu membawa sekumpulan wartawan dan jurufoto meninggalkan ibu kota, membelah lautan menuju ke Pulau Sapi yang jaraknya hanya 20 minit dari jeti di Kota Kinabalu.

Setibanya di pulau berkenaan, air laut membiru serta ikan pelbagai spesies seperti menjemput kehadiran rombongan terbabit untuk merasai keindahan dasar laut Pulau Sapi yang termasuk dalam taman laut Tunku Abdul Rahman, Sabah.

Menceritakan pengalamannya, Rudi berkata, dia pernah belajar tentang kehidupan marin dan terus jatuh cinta untuk menjaga persekitaran bawah laut serta beranggapan dengan hanya menjadi penyelam dapat merealisasikan impian itu.

“Bila jadi penyelam dan ajar menyelam kita boleh selitkan maklumat betapa pentingnya penjagaan hidupan marin.

“Jika kita tidak jaga sekarang, bila lagi, bagaimana cucu cicit kita akan nikmati nanti? Contohnya, bila kita bercerita tentang penyu, mungkin satu hari nanti mereka hanya dapat melihatnya melalui gambar saja,” kata Rudy.

Tambahnya, sejak dia cenderung melindungi alam laut, dia turut berminat untuk menyimpan koleksi gambar hidupan marin ini untuk tatapan anak cucunya.

Pendapat Rudy, untuk kita kongsikan dengan dunia supaya memulihara alam sekitar, tidak cukup dengan bercakap, tapi mestilah diselang seli dengan gambar kerana masyarakat kini lebih gemar dengan visual berbanding mendengar.

“Memang rasa tertekan jika mengambil gambar sesuatu objek yang jarang ditemui, terutama apabila menghadapi masalah dari segi arus air yang kuat atau masalah pencahayaan dan penetapan kamera, hingga perlu naik semula untuk membuat penetapan semula.

Jelasnya, ada kalanya saya luangkan 20 minit untuk satu objek bagi mendapatkan gambar yang baik. Begitu juga jika objek itu bergerak, perlu ambil kira pencahayaan dan komposisi, Begitu juga, dengan lumut atau plankton yang akan mengotori hasil gambar yang kita ambil.

“Apa yang penting ialah kebolehan mengimbangkan diri kerana dalam air kita tiada tempat untuk berpaut, lebih bahaya jika tempat itu dipenuhi terumbu karang, atau landak laut maka kita perlu berada dalam keadaan terapung untuk elak diri sendiri atau hidupan laut itu cedera.

“Lebih tidak dapat dilupakan ketika musim obor-obor merah jambu memenuhi hingga ke bawah dan hanya ada ruang seluas dua meter sebelum sampai ke batu karang, saya perlu turun ke bawah dan ambil gambar di ruangan yang terhad itu,” katanya.

Untuk mendapat hasil yang baik, Rudy mengeluarkan bajet lebih RM50,000 untuk memiliki peralatan kamera yang lengkap khusus untuk bawah air.

Di samping itu, dia mengharapkan tunjuk ajar daripada jurugambar yang berpengalaman untuk bertukar-tukar ilmu kerana tidak pernah mendapatkan pendidikan formal dalam bidang fotografi.

“Merakam gambar di darat dan di laut amat berbeza cabarannya, saya berharap agar rakan-rakan jurufoto sudi berkongsi ilmu dan turut sama merasai pengalaman di dasar laut juga supaya lebih banyak gambar dapat dihasilkan untuk mendidik masyarakat kepentingan menjaga hidupan marin,”ujar Rudy.

Antara gambar yang dirakam oleh Azman

Antara gambar yang dirakam oleh Azman

Sementara itu, peserta, Azman Jumat, 49, nekad menyahut cabaran Rudy walaupun terasa gentar kerana tidak cekap berenang.

“Pertama kali ditawarkan ke Pulau Sapi memang rasa sangat teruja, saya rebut peluang untuk rasa menyelam sambil mengambil gambar di dasar laut.

“Tetapi semakin dekat tarikh yang dipersetujui, timbul rasa debaran dan juga persoalan sama ada mampu kendalikan alatan skuba dan bagaimana hendak mengimbangkan diri dalam air,”katanya.

Menurutnya, cabaran sudah bermula ketika mula menggunakan peralatan menyelam, namun mujur dia mengambil perhatian kepada penerangan yang disampaikan oleh jurulatih tentang cara-cara mengendalikan alatan skuba.

Tambahnya, gambar yang dapat dirakamnya tidaklah begitu cantik kerana itu pengalaman pertama kalinya menyelam ke dasar laut di samping masih belajar mengendalikan peralatan menyelam, apatah lagi kemahiran mengimbangkan badan masih belum sempurna.

“Hanya sekali sekala dapat imbangkan badan dan akhirnya dapat juga merakam gambar spesies ikan secara berhadapan di kedalaman 10 meter.

“Agak sukar mengambil gambar yang jelas ketika itu sebab air laut agak kabut mungkin kerana banyak lumut dan plankton atau banyak aktiviti selaman daripada pelancong lain,” kata Azman.

Katanya lagi, atas kekangan peralatan kamera, hanya 10 keping gambar yang dirasakannya menarik daripada 30 keping yang berjaya dirakam.

Azman yang telah bertugas selama 22 tahun sebagai jurufoto turut  mengakui perlu sentiasa belajar jika terlibat dalam dunia fotografi kerana teknologi yang pantas berubah.

Rudy bersama kamera dan peralatan untuk fotografi bawah air.

Rudy bersama kamera dan peralatan untuk fotografi bawah air.

Azman turut mempelawa rakan-rakan yang meminati fotografi untuk cuba ke dasar laut walau sekali kerana mungkin ini mungkin genre fotografi yang akan diminati.

“Ambilah peluang sebab kita berada dekat dengan alam marin yang merupakan antara tercantik di dunia. Selain itu, kita ada jurulatih selam tempatan kita yang bertaraf antarabangsa di sini.

“Apabila kita sudah merasai sendiri keindahan di dasar lautan kita, secara tidak langsung akan timbul kesedaran untuk sayang akan alam sekitar bukan hanya di darat malah kita akan menghargai apa-apa yang ada di dasar lautan sana.

“Ada khazanah indah yang tersembunyi. Orang luar sanggup datang berduyun-duyun untuk melihatnya dengan modal yang mahal,” kata Azman.

 

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda