
Laporan Oleh Fasharina Kholil dan Rasidi Che Sa
Foto : Sazli Hassan
SIK, 12 Mac – Pianica Band memukau hampir 1000 penonton yang hadir bersempena Majlis Perasmian Program Negaraku Menghubung Menyatu Peringkat Negeri Kedah 2018 di Sekolah Kebangsaan Seri Ampang Muda, di sini, semalam.
Pianica Band yang dipimpin oleh Cikgu Ahmad Rosli Zainal Abidin ini dianggotai oleh 42 orang pelajar daripada Sekolah Kebangsaan Seri Ampang Muda (SKSAM) terdiri daripada pelbagai lapisan umur.
Pianica Band mula ditubuhkan pada tahun 2004 dan pernah beberapa kali menyandang gelaran johan di dalam beberapa pertandingan pancaragam peringkat Negeri Kedah.
Menurut Guru Besar SKSAM, Abd Rahim Abd Rashid, Pianica Band juga pernah memenangi gelaran Persediaan Pancaragam Terbaik serta Drum Major Terbaik Peringkat Negeri Kedah.
Menurut Abd Rahim lagi, Pianica Band sering diundang untuk mengadakan persembahan di luar termasuklah pernah mendapat undangan untuk mengadakan persembahan di Pengkalan Hulu, Perak.
“Pianica juga turut pernah dijemput untuk mengadakan persembahan bagi Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah selama dua tahun berturut-turut iaitu pada 2016 dan 2017.
Jelas Abd Rahim lagi, dia berharap suatu hari nanti Pianica akan mendapat peluang bagi mengadakan persembahan di peringkat kebangsaan.
Sementara itu, menurut Cikgu Ahmad Rosli, beliau yang memimpin Pianica sejak dari awal penubuhannya, berasa sangat berbesar hati dan berbangga dengan pencapaian anak didiknya.
“Pianica pernah di jemput untuk membuat persembahan sempena Kejohanan World Band di Stadium Putra Bukit Jalil pada tahun 2013. Mereka juga pernah merangkul gelaran Johan Peringkat Negeri Kedah dua tahun berturut-turut iaitu pada 2015 dan 2016,” tambahnya lagi.
Sementara itu, menurut Masyitah Mohd Tahir, 41, dia memberi sokongan penuh kepada anaknya yang turut terlibat di dalam pancaragam ini. Tambahnya lagi, sebagai ibu dia berasa teruja dan gembira setiap kali melihat mereka membuat persembahan.
“Siapa sangka anak kampung mampu bermain alat muzik dengan baik dan pernah sampai ke pentas kebangsaan,” jelasnya lagi.
– MRR