
Laporan dan foto:Mohd Hafiz Mat
Tenom, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Pembinaan bangunan Pasar Tani Kekal Tenom merupakan janji pihak kerajaan Barisan Nasional kepada penduduk Tenom agar dapat meningkatkan ekonomi keluarga dengan penglibatan dalam aktiviti peniagaan.
Menurut Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tan Sri Dato Paduka Badruddin Amiruldin, dengan wujudnya Pasar Tani Kekal di daerah tersebut akan menjadikan Tenom sebagai pusat pembelian buah-buahan dan hasil tani.
“Diharap juga agar pasar ini menjadi tempat tumpuan peniaga–peniaga dan orang ramai supaya kawasan ini kelak akan menjadi himpunan produk pertanian penduduk Tenom dan sekitarnya untuk dipasarkan.
“Selain itu pihak FAMA akan merancang aktiviti setiap bulan bagi menarik pengunjung ke Pasar Tani Kekal ini agar menjadi tempat persinggahan rehat dan rawat kerana kedudukan nya yang berada di pertengahan jalan Tenom – Kemabong dan jalan Tenom – Sipitang,” katanya ketika merasmikan Pasar Tani Kekal Tenom di Kampung Paal, disini.
Tambahnya, peniaga-peniaga ini akan diberi kursus anjuran FAMA agar mereka mempunyai pengetahuan asas dalam peniagaan dan seterusnya memudahkan FAMA menyalurkan bantuan seperti pakaian seragam FAMA supaya para peniaga tampak lebih seragam dan kemas.
Sementara itu, Ketua Pengarah FAMA, Dato Ahmad Ishak juga berharap agar Pasar Tani Kekal ini menjadi ledakan kepada ekonomi-ekonomi yang lain.
“Sebagai sebuah pusat pengumpulan, sudah tentu kita perlu mengumpul hasil tani yang diperlukan oleh pengusaha-pengusaha industri makanan.
“Apabila kita mahu mengumpul hasil pertanian yang diperlukan oleh pasaran , caranya adalah dengan mewujudkan kontrak ladang antara petani dan pihak FAMA.
“Hari ini produk pertanian Sabah telah mula mencipta nama dan menjadi sandaran pihak FAMA untuk mendapatkan bekalan jika terdapat kekurangan bekalan seperti halia, limau pamelo, pisang Sabah dan juga kelapa melalui kontrak ladang,” ujarnya.
Lebih tiga ribu pengunjung hadir dalam majlis tersebut dan pelbagai aktiviti menarik turut dianjurkan antaranya seperti Jualan Sentuhan Rakyat, Persembahan Artis Tempatan dan Cabutan Tiket Bertuah.
Hadir Sama Ahli Dewan Undangan Negeri N.36 Kemabong, Datuk Rubin Balang; Pegawai Daerah Tenom, Madiyem Layapan dan Ketua Polis Daerah Tenom, Firdaus Francis.
-MRR