
Laporan dan foto oleh: Mohd Sarah Bulindan
KOTA KINABALU, 26 Apr (Malaysiaaktif) – Barisan Nasional Sabah menyediakan penampilan muka baharu dan lama sebagai tawaran kepada pengundi dalam usaha parti itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) kali ini.
Ketika mengumumkan senarai calon-calon BN di Dewan Utama Bangunan UMNO pagi ini, Musa yang juga Pengarah Pilihanraya Sabah menjelaskan, penampilan barisan muka lama dan baharu amat diyakini dapat menambat isi hati pengundi berasaskan pengalaman, kemahiran dan kelayakan yang dimiliki oleh calon-calon yang terpilih.
“BN Sabah mengetengahkan barisan yang dapat membentuk kesatuan dalam perjuangan.
“Saya juga berharap agar semua ahli, barisan kepimpinan dan para penyokong BN agar menyokong dan berdiri teguh dibelakang perjuangan parti.
“Dimana-mana pun perjumpaan, saya selalu mengingatkan bahawa saya tidak penting, yang penting adalah kemenangan untuk parti dan kemenangan untuk meneruskan pemerintahan kerajaan BN.
“Kemenangan parti adalah agenda utama sebab kemenangan ini bakal meneruskan kesinambungan pemerintahan kerajaan dan parti yang memerintah,”katanya.
Musa turut berharap kepada mereka yang tidak terpilih agar tidak berkecil hati, tidak merajuk dan tidak meminggirkan diri, kerana keputusan yang diambil adalah keputusan parti yang harus dihormati.
Sementara itu, salah seorang penonton dari Sandakan, Jijah Majid bersetuju gandingan calon lama dan baharu sebagai pilihan yang tepat berasaskan pengaruh masing-masing diperingkat akar umbi.
Manakala seorang lagi penonton dari Semporna,Haji Majid Palah yang mengikuti perkembangan UMNO Sabah melihat pemilihan calon kali ini sebagai pesaing kepada tawaran pihak pembangkang.
Justeru katanya, pemilihan calon kali ini bakal mnyaksikan kombinasi kerja yang bersepadu untuk meraih undi.
-MRR