
Laporan dan foto :Mohd Baharruddin Mohamad / Parno Selamat (Sarawak)
KUCHING, 8 Jun (Malaysiaaktif) – 25 buah keluarga asnaf di sini semalam menerima sumbangan Aidilfitri berupa wang tunai beserta hamper daripada Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud sempena Majlis Jalinan Kasih Ramadan di Kediaman Rasmi Abdul Taib di sini.
Menurut urusetia, Ratmawati Mohd Sabil sumbangan ini adalah sebagai persediaan menyambut lebaran yang bakal menjelang tidak lama lagi.
“Bantuan ini adalah untuk menampung perbelanjaan mereka dan terpulang kepada mereka untuk membelanjakan wang tersebut,” katanya.
Menurut seorang penerima sumbangan, Misnu Sa’aid, wang yang diterima itu akan digunakan sebagai persiapan menjelang hari raya nanti.
“Terima kasih atas bantuan ini. Ada juga wang tambahan untuk belanja hari raya nanti,” ujarnya.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang Dipertua Negeri, Datu Mustapa Han, ketua-ketua jabatan dan penduduk sekitar Kuching.