Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Saya Cuba Puasa Sebulan….

By 9 Jun 2018Tiada komen3 minit bacaan

Laporan oleh: Fauzrina Bulka/ Foto: Azman Jumat

 

KOTA KINABALU, 9 Jun (Malaysiaaktif) – Beberapa kali dia menukar baju melayu, daripada jenama Yusuf Iskandar ke jenama Upin Ipin, namun kerana tiada saiz, bajunya bertukar semula ke jenama asal dengan warna berbeza pula.

Adik Soffian

Seronok melihat gelagat Soffian, 8 yang memilih sampin dan songkok pula untuk dipadankan dengan baju berwarna biru laut pilihannya dan selepas itu dia duduk di kerusi melepaskan lelah seusai memilih.

“Hari ni rasa penat, rasa mahu puasa setengah hari sahaja, tapi saya belum makan apa-apa lagi untuk sungkai, lama lagi kah masuk waktu?,”tanya Soffian pada penulis.

Penulis cuba memujuknya untuk bertahan, kerana kurang tiga jam lagi waktu berbuka ketika itu dan cuba mengajaknya berbual untuk mengurangkan rasa dahaganya.

Aizad(kiri) dan (kanan) membantu kanak-kanak ini memilih pakaian.

Aizad(kiri) dan (kanan) membantu kanak-kanak ini memilih pakaian.

“Sahur tadi saya makan nasi, ayam dan kicap, memang habis saya makan, puasa tahun lepas tidak penuh, jadi saya mahu cuba juga puasa penuh tahun ini.

“Saya ada 10 orang adik beradik, bapa sudah meninggal, kami ada emak saja, lepas itu saya masuk Rumah Kanak-kanak (RKK), seronok juga sebab banyak kawan,”ujarnya.

Adik Soffian ditemui ketika menerima sumbangan dalam Program Kami Prihatin, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah(SEDCO) Bersama RKK Kota Kinabalu di Jakel Silk House, Alamesra.

Turut sama menyantuni penghuni RKK, Pengarah Jakel Silk House, Mohd Amran Mohd Nor dan pengurusnya, Muhammad Aizad Shamsuddin.

Adik Anesha

Sementara itu seorang lagi penghuni RKK Anesha,16 yang sibuk mencuba pakaian yang dipilih bersama adiknya Usma,7 juga bersyukur menjadi salah seorang penghuni di situ.

“Di RKK kami dilatih untuk sama-sama mengemas rumah dan paling seronok dapat belajar bersama-sama dengan kawan-kawan dan tidak terpisah dengan adik saya.

“Saya tidak pasti ayah di mana, Ibu pula di Singapura, jadi raya kali ini kami akan beraya di rumah makcik.

Adik Usma

“Bila sudah habis belajar, saya mahu jadi anggota polis, apa yang pasti, di mana pun saya pergi, saya akan tetap bawa adik saya tinggal bersama, sebab kami hanya dua beradik saja,”jelasnya.

Dalam pada itu, Pembantu Pembangunan RKK, Jurtih Matusin berkata diawal penubuhannya pada 2004 hanya di huni oleh 45 orang berbanding sekarang seramai 102 orang.

“RKK meliputi kanak-kanak yang terlibat dalam kes penderaan, pengabaian, penderaan seksual, pembuangan bayi dan ada juga kes berprofil tinggi daripada seluruh Sabah dan paling jauh daripada Lawas.

Jurtih Matusin

Jurtih Matusin

“Pegawai-pegawai kebajikan yang akan membawa kanak-kanak tersebut sekitar usia sehari hingga 18 tahun untuk menghuni RKK melalui perintah mahkamah.

“Aktiviti yang dilakukan dalam bulan puasa pula, kami adakan kelas mengaji dan memenuhi jemputan membeli belah juga ada pihak-pihak yang datang untuk berbuka puasa bersama-sama.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada SEDCO dan Jakel juga kepada Lembaga Pelawat yang sudi membawa penghuni RKK untuk membeli belah, diharap mereka juga dapat merasai kegembiraan yang sama seperti kanak-kanak lain di luar.

Pengiran Saifuddin Pg Tahir

Pengiran Saifuddin Pg Tahir

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Pengiran Saifuddin Pg Tahir teruja dapat melakukan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) seperti tahun-tahun lepas.

Amran menghulur sumbangan kepada penghuni RKK

Amran menghulur sumbangan kepada penghuni RKK

“SEDCO membuat program sempena bulan Ramadan dimana tahun ini kita membawa 30 orang kanak-kanak daripada RKK sebagai salah satu program CSR.

“SEDCO merasakan penghuni RKK ini sebagai sebahagian daripada masyarakat, apatah lagi mereka ini masih kanak-kanak, jadi kita harus prihatin terhadap mereka agar mereka tidak rasa tersisih.

“Sepanjang bulan Ramadan, kita telah buat beberapa program dimana kebetulan dalam bulan ini telah berlaku banjir, maka kita turut buat CSR di Sepanggar dan Penampang juga CSR membantu mangsa kebakaran di Kota Belud.

Saifuddin menyantuni penghuni RKK sewaktu dibawa berbuka puasa di Hotel Hyatt.

Azrul (kiri) dan Saifuddin (kanan) menyantuni penghuni RKK sewaktu dibawa berbuka puasa di Hotel Hyatt.

“Pada awal Ramadan juga kami adakan majlis berbuka puasa dan pemberian sumbangan kepada pelajar tahfiz dan anak yatim.

“Sebenarnya program CSR ini berjalan sepanjang tahun dan kita tidak hadkan bantuan tersebut, dan ini antara inisiatif SEDCO untuk membawa sedikit keriangan kepada kanak-kanak ini,”katanya.

Turut sama, Timbalan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Azrul Ahmad.

 

 

-MRR

Tinggalkan komen anda