
Laporan oleh: Mc Ziano Bryn J.G / Foto: Johnny Joklis(Sabah)
PENAMPANG , 7 Ogos (Malaysiaaktif)-Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengingatkan rakyat di negeri ini agar menjadikan perbezaan sebagai lambang perpaduan kaum dan agama.
“Jangan jadikan perbezaan antara kita sebagai senjata untuk menghancurkan antara satu sama lain, tapi gunakan sebagai satu lambang perpaduan.
“Kita perlu kekalkan perpaduan yang sudah lama wujud dalam negara ini dan menggunakan perbezaan bangsa dan agama untuk bersatu padu serta menjadi contoh kepada negara luar.
“Rakyat Malaysia perlu menghormati antara satu sama lain agar negara yang makmur ini terhindar daripada kehancuran perpaduan,” ujarnya.

GIMIK….Shafie (kanan) diiringi Darell mengibarkan Jalur Gemilang ketika menaiki belon udara panas sebagai gimik pelancaran majlis tersebut.
Beliau turut menggesa masyarakat sempena bulan kebangsaan yang bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku’ agar terus mengibarkan Jaur Gemilang bagi menghargai pengorbanan serta jasa para pejuang kemerdekaan serta tanda syukur kepada keamanan negara.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menghayati Jalur Gemilang dan Rukun Negara sebagai landasan kita ke arah perpaduan yang lebih mantap untuk membina sebuah negara yang boleh hidup aman damai walaupun terdapat perbezaan bangsa dan agama,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri di Pekarangan Majlis Daerah Penampang, pada Isnin.
Pada majlis sama, Shafie turut melancarkan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sabah yang disertai 30 kenderaan daripada pelbagai jabatan serta agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan lain-lain jabatan negeri dan persekutuan.
Konvoi berkenaan akan mengibarkan Jalur Gemilang mengelilingi seluruh daerah di Sabah dan akan dikibarkan pada acara kemuncak, Sambutan Hari Malaysia pada 16 September nanti.
Hadir sama pada majlis tersebut adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking serta Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi, Jenifer Lasimbang serta Pegawai Daerah, Robert Stidi dan Pengarah JaPen Sabah, Norzawiyah Bulka.
-MRR