Skip to main content
HomeViral

Tangani Isu Melalui Dialog, Bukan Demonstrasi Jalanan – MAPIM

By 21 Ogos 2015Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

SHAH ALAM, 21 Ogos  — Demonstrasi jalanan bukan cara terbaik menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan sebaliknya perbincangan menerusi forum dan dialog dilihat lebih tertib dan berfokus.

Perkara itu disuarakan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid yang menyifatkan ‘suara jalanan’ lebih mendatangkan keburukan kepada negara sedangkan ada cara lain yang lebih baik untuk menzahirkan hasrat itu.

Beliau berkata pihak yang terlibat dengan demonstrasi jalanan itu berkemungkinan mempunyai objektif tersendiri namun tindakan sedemikian dilihat lebih menjurus kepada penzahiran emosi semata-mata.

Justeru, katanya, Mapim serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain bersetuju menganjurkan ‘Kongres Rakyat: Membina Negara Sejahtera’ iaitu sebuah forum bagi membincangkan sebarang isu semasa dan permasalahan negara dari sudut pandangan serta luahan hati rakyat.

“Kongres Rakyat pada 12 Sept ini adalah sebagai platform untuk rakyat bersidang secara berkesan dalam melontarkan pandangan atau luahan berkaitan apa-apa isu atau polemik meliputi politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.

Dengan cara ini, kita dapat elakkan berlakunya tindakan secara jalanan kerana forum atau dialog dilihat lebih serius dalam menyampaikan kemahuan rakyat berbanding dengan turun ke jalanan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata hasil perbincangan dan kata sepakat rakyat dalam forum itu akan disampaikan kepada menteri berkaitan melalui memorandum supaya ia dapat diambil tindakan sewajarnya.

“Kita juga akan sentiasa buat ‘susulan’ mengenai memorandum yang akan kita hantar supaya ada tindakan diambil kerana apa yang kita sampaikan adalah daripada rakyat dan untuk rakyat serta demi kesejahteraan negara,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Azmi berkata mana-mana NGO atau individu yang ingin menyertai kongres berkenaan boleh menghantar penyertaan menerusi emel [email protected] sebelum 5 Sept ini.

Tinggalkan komen anda