
Laporan/foto: Lyana Athirah Mohd Saad (Kota Setar)
ALOR SETAR, 18 Dis (Malaysiaaktif) – Perarakan Kereta Berhias sempena istiadat pertabalan Tuanku Sultan Kedah Ke-29 akan diadakan bermula pukul 8.00 malam ini.
Menurut Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perarakan Kereta Berhias sempena Istiadat Pertabalan ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah ke-29, Tan Kok Yew, acara ini bakal memeriahkan pertabalan di samping menarik pengunjung dalam dan luar negara untuk sama-sama meraikan acara gemilang ini.
“Perarakan tersebut akan bermula dari Perkarangan Stadium Darul Aman hingga ke Dataran Medan Bandar. Tema kereta berhias ialah “Kedah Aman Makmur di Bawah Naungan Tuanku”.
“Acara penutup bagi tahun 2018 ini pastinya menarik dengan 21 buah kereta berhias (termasuk Bahtera Layang Emas) yang mewakili jabatan dan syarikat yang turut serta dalam perarakan tersebut,” katanya yang ditemui di sini.
Menurut Kok Yew lagi, pelbagai aspek kesenian dan kreativiti dapat dilihat pada kereta-kereta tersebut dan perarakan ini dapat dijadikan kenangan. Orang ramai boleh menyaksikan perarakan ini di beberapa lokasi.
“Lokasi laluan perarakan akan bermula dari Lebuhraya Darulaman menuju ke Pentas Diraja iaitu di Medan Bandar, seterusnya melalui jalan stadium dan tamat di lot letak kereta khas Stadium Darul Aman bagi memberi peluang kepada orang-ramai untuk bergambar dan melihat kecantikan kereta berhias dari jarak dekat,” tambahnya.
Perarakan Kereta Berhias ini turut diselang-selikan dengan persembahan jalanan seperti tarian kebudayaan, pancaragam, kawad senyap, gendang silat, motor klasik dan pelbagai lagi persembahan yang menarik.
“Terdapat juga acara tembakan bunga api pada penghujung acara,” ujar Kok Yew lagi.