Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Kekalkan Tradisi Marhaban

By 18 Disember 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Fasharina Kholil/Rasidi Che Sa (Sik)

SIK, 18 Dis (Malaysiaaktif) – Marhaban dan berzanji merupakan salah satu tradisi serta adat masyarakat Melayu dalam meraikan majlis-majlis keramaian berkaitan agama Islam seperti cukur jambul, perkahwinan mahupun berkhatan.

Menurut Ketua Kumpulan Marhaban al-Muhtadin, Hasim Ahmad, 64, marhaban bukan sahaja seni budaya berunsur Islamik bahkan ia juga merupakan salah satu medium dakwah namun begitu kini ia kian dilupakan oleh generasi masa kini.

Pesara polis yang berasal dari Kampung Sik Dalam, di sini, menjelaskan dia mula didedahkan dengan seni marhaban sejak berusia 12 tahun lagi.

Hasim Ahmad antara pelopor kumpulan marhaban di daerah ini.

Hasim Ahmad antara pelopor kumpulan marhaban di daerah ini.

“Ayah merupakan salah seorang pengajar marhaban di kampung, apabila ayah mengajar saya turut ikut serta dan daripada situ timbulnya minat dan bakat saya mula dicungkil,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Hasim mula berkecimpung dalam bidang ini secara serius sejak 15 tahun lalu dan dia bersyukur kerana majikannya tidak pernah menghalangnya daripada terlibat dalam aktiviti seni Islamik ini.

Ditanya tentang petua menjaga suara, Hasim menjelaskan dia tidak mengamalkan sebarang petua atau pantang larang bahkan menyifatkan suaranya adalah anugerah daripada Allah.

Menceritakan kembali detik awal penubuhan Kumpulan al-Muhtadin, Hasim mengatakan kumpulan ini mula ditubuhkan sekitar tahun 2005 lagi.

“Kami sering menerima undangan bagi majlis keramaian seperti majlis perkahwinan tambahan pula pada musim cuti sekolah sebegini. Namun begitu tidak semua permintaan dapat dipenuhi ekoran kekangan masa ahli kumpulan.

“Apabila mendapat jemputan begitu, saya merasa gembira kerana marhaban masih lagi menjadi pilihan masyarakat pada masa kini sekaligus menghidupkan kembali seni warisan ini,” ujarnya.

Hasim menambah, Kumpulan al-Muhtadin juga sering turut serta dalam pertandingan yang dianjurkan oleh pelbagai agensi dan jabatan baik di peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan.

“Al-Muhtadin mula menyertai pertandingan marhaban sekitar tahun 2010 dan pernah beberapa kali mendapat tempat pertama pada peringkat kebangsaan. Terbaharu kami muncul sebagai Johan menewaskan 12 kumpulan lain dalam Majlis ‘Ihtifal Berzanji & Marhaban Peringkat Kebangsaan 2018 yang berlangsung di UiTM Merbok, Kedah baru-baru ini.

“Sekarang kumpulan ini dalam usaha bagi mencari pelapis agar kesinambungan seni ini tidak luput. Oleh itu, setiap minggu kami adakan sesi latihan dan pemilihan di Masjid Kariah Sik Dalam,” tambahnya.

Hasim turut berharap agar lebih ramai penyertaan daripada generasi muda untuk menyertai aktiviti seni ini kerana ia merupakan salah satu cara penghayatan Islam melalui aktiviti seni yang mulia ini.

Dia turut mencadangkan agar pihak sekolah khususnya Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) memasukkan silibus berkaitan marhaban untuk anak-anak di sekolah rendah.

“Pendedahan awal dapat memupuk minat serta mencungkil bakat anak-anak terhadap marhaban agar ia tidak dilupakan dan perlu dijadikan satu budaya yang berkekalan di dalam jiwa anak-anak muda supaya tidak luput dek arus pemodenan,” jelas bapa kepada tujuh orang cahaya mata ini lagi.

-SH

Tinggalkan komen anda