
Laporan/foto: Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)
KOTA BELUD, 10 Feb (Malaysiaaktif) – Menghayati panorama kebun sayur di lereng perbukitan pada waktu pagi, yang tumbuh bersama daunan herba liar serta pokok buahan sudah pasti sesuatu yang menyeronokkan.
Apatah lagi sayur yang segar dapat dibeli dengan harga yang murah lantas terus dimasak dan dinikmati bersama lauk ikan, sambal tuhau dan nasi panas pasti sangat menyelerakan.
Bertemu dengan pekebun yang terdiri daripada para ibu ini sedikit sebanyak menjentik rasa kagum kerana dalam usia 88 tahun, masih ada yang gigih bekerja.
Kawasan perbukitan di Melangkap Tiong ini terletak hanya di belakang eko pelancongan Nohutu, yang merupakan milik pesara bernama Sukibin Samporoh, 58 dan isterinya, Loraine Sariau, 50.
Melihat peningkatan jumlah eko pelancongan yang wujud di Mukim Melangkap ini secara tidak langsung turut memberi tempias dan menjadi punca rezeki kepada golongan ini dan juga penduduk tempatan.
Seperti para ibu di perbukitan tadi, mereka hanya diberi sebidang tanah untuk diusahakan tanpa bayaran, cuma perlu pastikan kebun kemas dan teratur sebagai syaratnya.
Menurut Loraine, tanah yang ada di lereng bukit itu seeloknya diusahakan berbanding terbiar, sementelah pula, kaum ibu juga menawarkan diri untuk bercucuk tanam.
“Pelbagai tanaman yang dapat dilihat diusahakan yang kebanyakannya sayuran tempatan, dan kebanyakan pembeli mereka selain daripada warga sekitar, turut diborong oleh pengunjung sulap.
“Pengunjung luar daripada tanah semenanjung dan juga negara luar biasanya meminta kami kongsikan resipi dan cara memasak beberapa jenis sayuran mengikut tradisi di sini.
“Ini antara inisiatif dan hasrat kami sejak memulakan perniagaan ini untuk memperkenalkan kepada orang luar tradisi kehidupan, makanan malahan tarian warga tempatan,” katanya.
Idea tersebut turut diserlahkan dengan pondok penginapan atau sulap mengikut bahasa tempatan, yang diilhamkan daripada buluh, dibina pelbagai saiz dan bentuk supaya pengunjung dapat merasai sendiri pengalaman bermalam seperti di kampung.
Walaupun tidak disediakan kipas ataupun penghawa dingin, tetapi kedudukannya yang terletak di sebelah hadapan gunung Kinabalu membuatkan suhu persekitaran menjadi sejuk menjelang malam.
Menurut pekebun Juliana Salagan, 42, mungkin kerana suhu yang betul serta tanah yang baik membuatkan sayur dan buah yang mereka tanam sangat menjadi walaupun tanpa bantuan baja ataupun bahan kimia.
“Untuk membersihkan rumput-rumput juga kami lakukan menggunakan tangan berbanding penggunaan racun bagi menjaga kualiti sayur.
“Sembilan ekar tanah rata di bukit ini kami usahakan seramai lebih 20 orang sejak tahun 2000 ketika masih dipenuhi pokok getah, kami bersihkan bersama-sama untuk tanam padi bukit dan kemudian buka kebun sayur dan buah.
“Kita dapat lihat di sini ada pokok durian, manggis, langsat dan terap, manakala sayur-sayur yang ada di sini merupakan sayuran kampung antaranya seperti tambuotong, tauhung, lotup-lotup dan tuhau,” katanya yang punya tiga orang anak.
Menurut Juliana, selain dijual kepada pengunjung penginapan, setiap hari Rabu, Jumaat dan Ahad saban minggu, mereka akan bersama-sama untuk menjual hasil tanaman mereka di Tamu Kota Belud.
Pendapatan mereka sebulan memang lumayan bergantung dengan hasil yang mereka usahakan mengikut lot-lot yang sudah dibahagikan kepada semua pekebun.
Dia juga bersyukur dengan wujudnya eko pelancongan di mukim Melangkap terutamanya Nohutu ini, banyak membantu ekonomi mereka dengan berniaga sayur dan buah lebih-lebih lagi dengan jumlah pengunjung yang meningkat ketika musim cuti dan pada hujung minggu.
Pengunjung yang menginap atau berkunjung ke sini secara tidak langsung mengetahui kewujudan kebun tersebut kerana pasti akan melalui kebun mereka jika ingin beriadah secara privasi ke lagun yang terletak di sebelah belakang bukit.
Adakalanya dia juga membantu pengunjung memasak sayur pilihan mereka di ruangan memasak yang disediakan di Nohutu kerana gembira menu kampung dan tradisi kaumnya menarik minat mereka dan digemari oleh orang luar.
Katanya, menu tradisi tersebut sememangnya boleh diketengahkan dan dijadikan antara sajian utama pelancong ke Sabah kerana di samping rasanya yang enak, penggunaan herba juga menjadikan menu tersebut elok untuk kesihatan.
Rata-rata beberapa eko pelancongan yang terletak berhampiran antara satu sama lain di sekitar itu merupakan milik keluarga, dan dibina di atas tanah warisan setelah melihat permintaan yang meningkat untuk penginapan.
Eko pelancongan ini dibina secara berhadapan dan berkongsi Sungai Panataran yang mengalir secara terus daripada gunung Kinabalu, sebelum melintasi Kota Belud dan memasuki Laut China Selatan dari Kuala Abai.
Atas dasar saling menyokong dan memerlukan, pemilik eko pelancongan di sini juga turut mendapatkan bekalan bahan mentah khususnya sayuran daripada pekebun untuk dihidangkan kepada tetamu.
Antara rumah penginapan berhampiran ialah Nahandang Homestay and Campsite, dimiliki oleh Bidin Molindoi dan Sapiah Sampuroh yang juga merupakan adik kepada Sukibin.
Berbeza dengan konsep kampung di Nohutu, homestay milik Sapiah lebih berkonsepkan rumah kediaman, sesuai untuk tetamu yang inginkan privasi menggunakan bilik mandi yang disertakan sekali di dalam bilik.
Malahan tetamu masih punya pilihan jika ingin berkhemah sambil menikmati angin dingin dengan pemandangan lukisan alam si gunung Kinabalu, pada lewat senja atau awal pagi mahupun menyaksikan terbit dan tenggelamnya mentari.
Nahandang juga menyediakan cafe untuk tetamu mereka, tidak kisah samada anda menginap di sana atau cuma ekspedisi sehari sahaja, makanannya sedap dimasak sendiri oleh warga tempatan yang diberi kepercayaan oleh Sapiah.
Jenika Yaling, 45, sudah hampir setahun berkhidmat di Nahandang, melakukan hampir semua tugas di penginapan tersebut sebelum menjadi tukang masak.
Mempunyai sembilan orang anak, dia mengakui wujudnya eko pelancongan Nahandang sebagai punca rezeki dan membantu meningkatkan ekonomi keluarganya yang sebelum ini hanya bergantung pada pertanian.
“Semasa mula-mula bekerja di sini, tugas saya ialah mengemas bilik dan rumah penginapan, dan sesekali membantu tukang masak di dapur, tetapi selepas tukang masak berhenti, saya galas tugas itu sepenuhnya.
“Dengan gaji yang hampir RM1,000 sebulan, saya dapat biayai persekolahan anak saya dan bantu suami membeli barangan dapur, tambahan lagi anak sulung juga sudah bekerja dan turut membantu.
“Menu yang saya masak biasanya akan diselitkan menu kampung, seperti sayur dan juga lada cicah yang saya kisar sekali dengan tuhau yang memang ada peminatnya sendiri,” kata Jenika tersenyum.
Tambahnya, majoriti pekerja yang bekerja di Nahandang ini merupakan penduduk tempatan samada mengemas bilik ataupun membina bangunan baharu dan kerana itu beliau berterima kasih kepada majikan yang memberi mereka peluang tersebut.
“Bersyukur kerana pemilik homestay mempercayai bakat tempatan untuk melakukan kerja-kerja pertukangan dan tugasan lain di sini yang menunjukkan mereka benar-benar menyokong dan membantu kami.
“Dengan peluang pekerjaan sebegini setidak-tidaknya memudahkan kami menguruskan keluarga dan mencari rezeki tanpa perlu ke luar daerah.
“Apa yang pasti, orang tempatan juga mempunyai bakat dan kemampuan untuk bekerja dengan baik jika diberi peluang dan kepercayaan yang sewajarnya,” katanya.
EM