Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Pupuk Sifat Keusahawanan dari Bangku Sekolah – Redzuan

By 10 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Khairul Annuar Zulkernain (Alor Gajah)

ALOR GAJAH, 10 Feb (Malaysiaaktif)– Sifat keusahawanan perlu diterapkan sejak bangku sekolah lagi. Begitu yang dinyatakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohamad Redzuan Md Yusof ketika merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat Universiti Binary: Penyampaian Buku Ulangkaji UPSR SJK(T) Parlimen Alor Gajah yang berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Alor Gajah di sini, semalam.

Beliau menegaskan bahawa pada masa hadapan,persaingan untuk mendapatkan pekerjaan akan menjadi lebih sukar disebabkan kadar pertumbuhan populasi penduduk di negara ini. Oleh yang demikian, jalan keluar untuk permasalahan ini adalah melalui penerapan nilai-nilai keusahawanan sejak alam persekolahan lagi.WhatsApp Image 2019-02-09 at 13.32.24

“Ibu bapa dan para pelajar perlu menukar persepsi untuk tidak lagi mengejar pekerjaan bergaji ataupun bergantung harap kepada mencari pekerjaan selepas tamat pengajian. Minda mereka perlu dibuka untuk menceburi bidang keusahawanan bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi selain untuk memastikan kadar pengangguran dapat dikurangkan pada masa hadapan,” ujar Redzuan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah memuji usaha yang diambil oleh Universiti Binary dalam mendekati pelajar-pelajar luar bandar bagi membantu mereka dalam pelajaran melalui tanggungjawab sosial korporat mereka. Tambah beliau, sektor swasta perlulah berganding bahu bersama kerajaan untuk mendekati setiap lapisan masyarakat terutama golongan B40.

Seramai 155 orang penerima terdiri daripada pelajar-pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dalam parlimen Alor Gajah menerima sumbangan buku rujukan dan ulangkaji UPSR pada hari ini. Turut hadir ADUN Machap Jaya, Ginie Lim Siew Lin, Pengerusi Eksekutif Universiti Binary, Tan Sri Joseph Adaikalam dan Timbalan Naib Canselor Universiti Binary, Prof Dr Sulochana Nair.

-KN

Tinggalkan komen anda