Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Jambatan Angkat Dibuka Semula

By 2 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto:  Shuhaimi Ahmad (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 2 Ogos (Malaysiaaktif) -Jambatan angkat atau lebih dikenali dengan drawbridge dibuka semula semalam selepas ditutup kepada pengguna sejak enam minggu lalu.

Jambatan angkat sepanjang 638 meter dengan ketinggian 12.5 meter dari aras laut yang menghubungkan muara selatan di pusat bandar Kuala Terengganu dan muara utara di Seberang Takir itu dibuka buat pertama kali pada 2 Jun bagi ujian aliran trafik dan ditutup semula pada 17 Jun lalu.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dalam kenyataan media berkata, “Semua jenis kenderaan dibenarkan menggunakan laluan di jambatan itu, walau bagaimanapun kenderaan tidak boleh berhenti atau meletakkan kenderaan di atas jambatan kerana boleh menggangu kelancaran aliran trafik.”

“Orang ramai dibenarkan berada di atas jambatan tetapi perlu meletakkan kenderaan mereka di bawah jambatan dan naik menggunakan tangga yang disediakan untuk ke atas jambatan angkat itu,” ujar beliau lagi. Bagaimanapun, pengunjung tidak dibenarkan menaiki lif atau tangga untuk ke menara kerana kerja-kerja berkaitan di menara belum siap dengan sempurna.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Terengganu telah melantik anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd sebagai operator dan buat masa ini pihak kontraktor utama masih berada di tapak projek untuk memberi latihan kepada pasukan operator Terengganu Incorporated Sdn Bhd sehingga 30 September depan.

Pembinaan jambatan unik ini adalah sebahagian daripada projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang melibatkan kos RM248 juta dan menjadi mercu tanda baharu bagi negeri Terengganu.
Jambatan yang mula dibina pada Ogos 2014 itu, adalah jambatan angkat terpanjang di dunia , disokong dua menara setinggi 15 tingkat di bahagian kiri dan kanan dan boleh diangkat di bahagian tengah untuk laluan kapal bakal menjadi satu lagi tarikan pelancongan dari dalam dan luar negara.

Kerajaan negeri berharap pembukaan jambatan ikonik itu akan memberi impak kepada sektor pelancongan negeri ini dan seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi rakyat selain memperkenalkan negeri ini dimata dunia.
Menteri Besar juga berharap agar agensi pelancongan dapat memasukkan lawatan ke jambatan angkat ini dalam pakej lawatan pelancong ke Terengganu selain produk pelancongan sedia ada.

-II-

Tinggalkan komen anda