Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Binjai Manis Jadi Rebutan

By 2 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto:  Shuhaimi Ahmad (Kuala Terengganu)
KUALA NERUS, 2 Ogos (Malaysiaaktif) – Kita biasa mendengar buah binjai atau nama saintifiknya “Mangifera Caesia” mempunyai rasa yang agak masam dan kelat.

Bagaimanapun, pokok binjai yang dimiliki oleh Muda Said, 84, dari Kampung Banggol Binjai, Kuala Nerus mempunyai rasa yang manis serta berbau harum.

Pokok yang ditanam oleh Muda sejak 47 tahun lalu kini menjadi tumpuan peminat buah itu untuk mendapatkan binjai yang rasa manis dan harum.

Muda berkata, “Benih binjai itu diperolehi dari rakannya yang tinggal di Kampung Teluk Pasu, Kuala Terengganu dan beliau mendakwa pokok binjai yang ditanam dan rasa manis itu berasal dari Brunei sebelum baka pokok itu ditanam di Muar, Johor dan seterusnya benih pokok itu dibawa ke Terengganu dan ditanam di Kampung Teluk Pasu.” Beliau juga pernah mendengar kebanyakan pokok binjai yang terdapat di Kepulauan Borneo rasanya manis dan berbeza di Semenanjung yang kebanyakan rasa masam dan kelat.

Katanya, apa yang istimewa ialah pokok yang ditanam itu mengeluarkan dua buah yang rasanya berbeza. “Ada dua rasa, ada yang rasa manis dan ada yang rasa lemak tetapi kebanyakannya buah binjai yang gugur berasa manis dan pejal,” katanya.

Mohd Abu Hassan menunjukkan dua biji buah binjai daripada pokok yang sama berbeza rasa iaitu buah yang agak gelap rasa lebih manis manakala yang kekuningan rasa lemak.

Mohd Abu Hassan menunjukkan dua biji buah binjai daripada pokok yang sama berbeza rasa iaitu buah yang agak gelap rasa lebih manis manakala yang kekuningan rasa lemak.

Bagi membezakan antara dua rasa itu, boleh dilihat melalui kulitnya, iaitu binjai manis mempunyai kulit yang berwarna coklat dan kasar manakala yang rasa lemak agak kekuningan dan licin.

Kini setiap kali pokok binjainya berbuah, ramai yang datang ke kebun untuk membeli binjai dan sehingga kini beliau mampu menjual kira 1500 biji pada setiap musim.

Beliau berkata, buah binjai dijual RM10.00 untuk setiap empat biji buah tersebut dan setiap hari kira-kira 15 hingga 20 orang menempah untuk mendapatkan buah itu dan setiap orang pula biasanya membeli 10 hingga 20 biji setiap orang.

Pada setiap musim, Muda yang dibantu oleh anaknya, Mohd Abu Hassan, 47, akan tinggal di pondok yang dibina berhampiran pokok itu 24 jam bagi memastikan buah itu tidak dirosakkan oleh musuh tanaman seperti musang dan tupai.

Muda (kanan) dan anaknya, Mohd Abu Hassan menunggu buah binjai gugur di kebunnya di Kampung Banggol Binjai, Kuala Nerus.

Muda (kanan) dan anaknya, Mohd Abu Hassan menunggu buah binjai gugur di kebunnya di Kampung Banggol Binjai, Kuala Nerus.

Mohd Abu Hassan juga ditugaskan untuk mengambil tempahan daripada orang ramai dan menulisnya di atas papan putih di pondok itu bagi mengelakkan daripada lupa.

Muda  berkata, terdapat enam pokok binjai lain yang ditanam di kebunnya, bagaimanapun rasa buah itu masam walaupun ditanam daripada benih pokok binjai manis.

-II-

Tinggalkan komen anda