
KUANTAN, 12 Okt — Kuantan Port Consortium Sdn Bhd (KPC) hari ini memberi jaminan untuk melakukan penambahbaikan bagi mengurangkan kadar pencemaran akibat bauksit di dalam dan kawasan sekitar pelabuhan itu.
Ketua Pegawai Operasinya Datuk Ir Khasbullah A. Kadir berkata penambahbaikan itu telah bermula secara berperingkat dan dijangka akan selesai pada Mac tahun depan atau selewat-lewatnya pada pertengahan tahun hadapan.
“Kita tahu punca masalahnya. Cuma untuk penambahbaikan, ia akan mengambil masa. Kita tidak boleh selesaikan dalam tempoh semalam. Ia sukar bagi kita tetapi kita mahukan ketelusan. Kita sedang lakukan yang terbaik untuk meminimumkannya,” katanya pada sidang media di Wisma KPC di sini, hari ini.
Khasbullah menambah antara penambahbaikan yang akan diambil ialah memasang penghadang debu setinggi sembilan meter di kawasan penyimpanan bauksit sejauh 1.9 kilometer yang akan menghalang sebaran debu baukit ke premis industri sekitar pelabuhan.
Selain itu, PKC juga akan membina laluan sehala untuk masuk dan keluar lori membawa bahan galian bermula November ini, bagi memudahkan proses kawal selia dan dua sistem pencucian tayar ditempatkan di laluan keluar bagi memastikan lori yang keluar tidak membawa kotoran ke jalan raya.
“Malah, tindakan juga telah diambil sekarang dengan memastikan hanya lori yang mempunyai pelekat, menandakan ia telah lulus semua pemeriksaan termasuk cara membawa bahan galian itu agar tidak tertumpah (di jalan raya) dibenarkan masuk (ke pelabuhan),” katanya.
Khasbullah menambah pelaksanaan sistem cucian jalan raya yang bersepadu juga akan dilakukan melibatkan tenaga buruh untuk mengikir jalan dan lori ‘road sweeper’ dengan alat ‘high pressure water jetter’ tekanan air tinggi untuk mendapatkan hasil cucian yang lebih bersih.
KPC juga telah membeli enam lori berkenaan dari China yang dijangkakan akan tiba pada Disember ini, selain 50 buah lori membawa bauksit baharu bagi menggantikan lori usang sekali gus dapat menggelakkan tumpahan bahan mineral itu semasa proses pengangkutan.
KPC juga merancang untuk menggunakan jentera ‘dust supression’ bagi memerangkap debu yang berterbangan dari jalan raya dan persekitaran, selain sedang menimbang untuk menggunakan teknologi baharu untuk mengurangkan kesan bauksit seperti digunakan di Batam, Indonesia, jika terbukti ia berkesan.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan kos yang dibelanjakan untuk penambahbaikan itu, namun memberi jaminan bahawa kos tidak menjadi masalah selagi usaha pemuliharaan alam sekitar dapat dilakukan, dan bersedia mendengar cadangan dan pandangan mana-mana pihak.
Khasbullah juga mengakui pihaknya terlepas pandang terhadap beberapa syarikat luar yang dilantik untuk menyelia kerja-kerja pembersihan di pelabuhan, namun tindakan telah diambil.
“Kita akan bertegas dan akan pastikan perkara ini tidak berlaku. Kontraktor yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) akan dihentikan.
“Untuk simpanan bauksit kita juga akan tegas dengan mereka. Mana-mana kawasan yang gagal untuk patuhi apa yang kita mahu seperti pasang jaring dan bina pagar, kita akan tarik lesen mereka. Bila mereka dapat sediakan semua infrastruktur, baharu kita akan bagi kebenaran untuk beroperasi semula,” katanya.
Khasbullah berharap semua tindakan itu akan ‘melahirkan’ pelabuhan yang lebih baik kepada alam sekitar, walaupun mengakui ia agak sukar kerana KPC mengendalikan operasi yang besar, iaitu tiga juta tan bauksit pada bulan lalu, dengan 44 buah kapal sebulan dan 2,000 lori sehari.
Pada sidang media itu, Khasbullah juga menafikan laporan sebuah akhbar pada 7 Okt lalu yang mendakwa KPC gagal mematuhi SOP dan menambah gambar yang tersiar dalam artikel itu adalah gambar lama di laman sosial Facebook.
“Saya sendiri tidak dapat menyatakan bila gambar itu diambil kerana sudah terlalu lama. Proses pembersihan sedemikian (di akhbar) sudah tidak dibenarkan di kawasan dermaga dan tindakan amaran bertulis akan dikenakan kepada kontraktor jika keadaan sedemikian berlaku,” katanya.
Sebagai bukti sokongan, Khasbullah juga mengemukakan surat yang dikeluarkan Jabatan Perikanan Ikan Negeri Pahang yang menarik semula larangan penarikan pengambilan kerang-kerangan di kawasan pelabuhan Kuantan yang dikeluarkan pada 22 Sept lalu.
Surat yang ditandatangani pengarah jabatan Adnan Hussain menyatakan keputusan persampelan terahir pada dua bulan berturut-turut mendapati tiada kehadiran mikro alga berbahaya dikesan di kawasan terlibat.
Selain itu, Khasbullah juga memberitahu sebanyak RM500 juta telah dibelanjakan KPC bagi pembangunan pelbagai infrastruktur untuk proses mengeksport bahan mineral, dimulakan dengan bijih besi pada 2013 sebelum bertukar kepada bauksit.
— BERNAMA