
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 11 Sep (Malaysiaaktif) – Sebanyak 45 kes baharu COVID-19 dilaporkan di negara ini semalam, membabitkan 44 kes penularan tempatan dan satu kes import melibatkan warganegara yang pulang dari Brazil, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata daripada 44 kes penularan dalam negara itu, 40 adalah daripada Kluster Benteng LD, Sabah yang melibatkan 33 bukan warganegara dan tujuh rakyat tempatan.
Baki empat kes lagi direkodkan di Kedah iaitu dua kes daripada Kluster Telaga dan masing-masing satu kes daripada Kluster Telaga dan saringan bergejala di Klinik Kesihatan Simpang Kuala dengan kesemuanya melibatkan rakyat tempatan, katanya.
“Sementara itu, sebanyak 24 kes telah pulih menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 9,167,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 semalam.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata ketika ini terdapat sembilan kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan lima pesakit memerlukan bantuan pernafasan.
Tiada kes kematian baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kekal 128 kes.
Dalam sidang media itu, Dr Noor Hisham berkata seramai 119,268 pengembara telah memasuki Malaysia sejak 3 April hingga semalam.
Daripada jumlah itu, sebanyak 995 disahkan positif COVID-19, iaitu 742 kes dikesan semasa saringan ketibaan dan 253 kes dikesan daripada saringan kedua pada hari ke-13.
“Susulan kenaikan kes import COVID-19 di Malaysia, KKM telah membangunkan matriks penilaian risiko ke atas negara-negara di dunia bagi mengukur risiko pengimportan jangkitan COVID-19 ke Malaysia.
“Ini adalah penting dalam membuat keputusan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kawalan sempadan antarabangsa … hasil penilaian ke atas semua 23 buah negara yang telah dikenakan sekatan perjalanan ke Malaysia didapati mempunyai risiko tinggi membawa masuk jangkitan COVID-19 ke dalam negara kita,” katanya.
Jelas beliau kriteria penilaian risiko pengimportan jangkitan COVID-19 adalah berdasarkan Scoring Board: Sistem Merit yang dibangunkan KKM dengan menguna pakai sumber data daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah dan Our World in Data.
— BERNAMA