Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

COVID-19: 1,889 Kes Baharu, Trend Peningkatan Ditunjukkan

By 15 April 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 15 April (Malaysiaaktif) – Jumlah kes COVID-19 di Malaysia terus menunjukkan trend peningkatan dalam tempoh dua hari terakhir, apabila mencatatkan sebanyak 1,889 kes semalam berbanding 1,767 kes kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 dalam negara sebanyak 365,829 kes.

Menerusi ciapan di laman Twitter, Dr Noor Hisham berkata Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 517 kes, diikuti Sarawak 489 kes dan Kelantan sebanyak 226 kes.

Perlis yang merekodkan sifar kes semalam pula mencatatkan tiga kes baharu hari ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kemudian Dr Noor Hisham memaklumkan, sebanyak 1,485 kes sembuh dilaporkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh sebanyak 347,780 kes.

Dr Noor Hisham berkata, lapan kematian turut direkodkan semalam, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 1,353 kes.

Beliau berkata kes kematian semalam pula membabitkan lima di Sarawak dan masing-masing satu di Sabah, Selangor dan Kuala Lumpur.

“Sebanyak 204 kes pula dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala 79 kes memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Sementara itu, sebanyak tujuh lagi kluster baharu turut dikenal pasti hari ini, membabitkan enam kluster tempat kerja dan satu kluster komuniti.

Kluster tempat kerja berkenaan ialah Kluster Jalan Khidmat dan Kluster Batu Sepuluh di Sabah, Kluster Jalan Mohd Taib di Selangor, Kluster Jalan Sempilai di Pulau Pinang, Kluster Permatang Berangan di Kedah dan Kluster Jalan Gapam di Melaka.

Kluster komuniti pula melibatkan Kluster Jalan Sahadi di Selangor, kata beliau.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda