Laporan/foto: Muhammad Syafiq Md Saad/Noor Anis Othman (Padang Terap)
PADANG TERAP, 14 April (Malaysiaaktif) – Sebanyak 95 buah rumah rosak dibadai ribut di Felda Lubok Merbau, di sini petang semalam.
Pengurus Felda Lubok Merbau Mohd Nordin Abdul Rahman, menyatakan kejadian ribut dan angin kencang petang semalam adalah kejadian kali pertama sepanjang tempoh penubuhan FELDA tersebut sejak 1964.
“Difahamkan kejadian pukul 6.00 petang yang berlaku selama hampir 30 minit itu menyebabkan pokok tumbang di beberapa kawasan di sekitar Felda Lubok Merbau yang menyebabkan lima buah rumah mengalami kerosakan teruk sementara semua mangsa ditempatkan di Kuarters Kakitangan Felda Lubok Merbau,” katanya ketika ditemui mengedarkan bantuan kepada mangsa bencana, hari ini.
Mangsa, Che Tom Hassan, 73, berkata angin kencang bersama hujan lebat berlaku petang semalam dan ketika kejadian dia berada di dalam rumah.
“Dalam keadaan hujan lebat, saya melihat hampir keseluruhan bumbung rumah saya sudah diterbangkan angin dan beberapa rumah jiran juga turut mengalami kerosakan.
“Anggaran kerugian sebanyak RM2,000 kerana atap zink dan kayu yang rosak tidak boleh digunakan semula manakala banyak peralatan serta perabot dalam rumah basah akibat angin kencang dan hujan lebat petang semalam,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Mas Ayu Md Salleh, 47, berkata ketika kejadian dia berada sendirian di dalam bilik di tingkat atas rumahnya dan tiba-tiba terdengar bunyi seolah letupan apabila bahagian bumbung rumah tercabut diterbangkan angin kencang.
“Saya hanya mampu berdoa dan berharap agar tidak berlaku kejadian yang lebih buruk.
“Siling rumah saya pecah, cebisan simen dan batu-bata bertaburan dalam bilik serta di atas tangga dan ketika itu juga air hujan mencurah-curah masuk ke dalam bilik lalu segera menghubungi suami saya untuk mendapatkan bantuan, Muhammad Ismail, 57, yang ketika itu berada di masjid,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Padang Terap Datuk Md Shuhaimie Abd Rahman berkata bantuan yang sesuai akan disediakan kepada mangsa selepas siasatan dilakukan oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Bantuan awal berupa barangan makanan telah diedarkan kepada mangsa-mangsa terlibat dan saya difahamkan, kejadian semalam adalah yang terburuk dalam tempoh lebih lima dekad,” katanya yang turut melawat kawasan bencana pagi tadi.
~RJ~