Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Bebola Lumpur Medium Alternatif Rawatan Air

By 27 April 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aneta Ahmad/Mahadi Mustafa (Dungun)

DUNGUN, 27 April (Malaysiaaktif) – Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi MARA (UiTM) Bukit Besi menganjurkan Eco-Mud Virtual Run bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pencemaran air yang disebabkan oleh aktiviti manusia.

Pensyarah universiti tersebut Iswaibah Mustafa, 32, berkata program ini akan mengambil masa 14 minggu merangkumi fasa permulaan, fasa semasa dan fasa penutup dan para peserta perlu menggunakan bebola lumpur untuk mencapai objektif program ini.

“Peserta terlebih dahulu perlu mendaftar melalui Google Form atau dengan mengimbas kod QR bagi mengisi maklumat peribadi serta yuran penyertaan dikenakan bagi yang ingin menyertai program ini.

“Peserta juga mesti berlari sejauh lima atau tujuh kilometer dan dikehendaki mencari sumber air tercemar seperti tasik, kolam dan longkang kemudian melempar bebola lumpur ke dalam sumber air tersebut,” katanya yang ditemui di universiti tersebut, di sini baru-baru ini.

 

Iswaibah Mustafa, 32, berkata Eco-Mud Virtual Run adalah program komuniti yang dirancang untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pencemaran air yang disebabkan oleh aktiviti manusia.

Iswaibah memaklumkan program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pencemaran air yang disebabkan oleh aktiviti manusia.

 

Menurut Iswaibah, program ini merupakan salah satu program komuniti yang dirancang dalam aktiviti pelajar bagi berkongsi keberkesanan dan pendedahan kepada pelajar dan masyarakat.

“Para peserta juga perlu berswafoto atau membuat video sambil melempar bebola lumpur ke sumber air dan memuat naik gambar dan video tersebut di media sosial bersama dengan tanda pagar #Run4MudChallenge.

Antara pensyarah yang terlibat dalam program ini.

Antara pensyarah yang terlibat dalam program ini.

“Peserta akan menerima bebola lumpur, pelitup muka, e-bib dan e-sijil dan peserta yang berjaya memenuhi kriteria pertandingan akan mendapat bonus lumayan.

“Pada akhir program, peserta dikehendaki memberi maklum balas mengenai kesan bebola lumpur terhadap pencemaran air hasil daripada pemerhatian selama 14 minggu,” tambah beliau.

Bebola tanah liat atau lebih dikenali sebagai Mud Ball diperbuat dari tanah, tanah liat, 'bokashi' dan mikroorganisma yang berkesan menjadi alternatif bagi rawatan air yang tercemar.

Bebola lumpur dipercayai berkesan sebagai alternatif merawat sumber air yang tercemar. 

 

Seramai 191 orang pelajar terlibat dalam program ini terdiri daripada pelajar semester 3 dan 5 diketuai oleh Nur I’ffah Abdul Hanan dan Noor Hanani Hanis Jaidi di bawah penyeliaan lima orang pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia UiTM Bukit Besi iaitu Iswaibah Mustafa, Muhammad Firdaus Husin, Dr. Nur Syukriah Ab Rahman, Norzila Mohd dan Zarina Omar.

-ii-

Tinggalkan komen anda