
Laporan/foto: Mohamad Zairin Mohamad Zin (Petaling)/Farhan Abdullah (Putrajaya)
SERDANG, 12 Jul (Malaysiaaktif) – Demi memudahkan pengendalian pesakit di Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, para petugas terdiri daripada pelbagai agensi, Penolong Pegawai Perubatan (PPP), badan bukan kerajaan (NGO) Waris Selangor, dan Persatuan Penghantar p-Hailing Malaysia seramai 97 orang kesemuanya mengatur semula kesemua 530 katil di dewan DG (sayap B) daripada katil dua tingkat menjadi katil satu tingkat semalam.
Menurut Timbalan Pengarah 2, PKRC Bersepadu 2.0 MAEPS Kol. Dr. Hajah Aeriza Dato Mohd Yusak, tujuan mengubah atur semula katil-katil di sini kepada katil dua tingkat ini dilakukan adalah untuk menempatkan pesakit daripada kategori tiga berbanding sebelum ini yang menempatkan pesakit bagi kategori satu dan dua, dan jumlah katil terkini di sini adalah sebanyak 300 katil.

Beberapa petugas sedang membuka semula katil 2 tingkat untuk dijadikan katil 1 tingkat sahaja bagi pesakit COVID-19 kategori 3.
“Selain itu, ia adalah untuk memudahkan pengendalian pesakit daripada kategori tiga ini oleh petugas-petugas kesihatan yang terlibat.
“Sementara pengubahsuaian ini dilakukan, kesemua pesakit di sini dipindahkan ke dewan DG dan kawasan pengubahsuaian juga telah dekontaminasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada sebelah malam tadi dan kerja pembersihan turut dilakukan sepenuhnya.
“PKRC Bersepadu 2.0 MAEPS Serdang telah mula beroperasi sejak Disember 2020 dan kini menempatkan pesakit COVID-19 daripada kategori satu sehingga kategori tiga dan lebih daripada 100,000 pesakit telah mendapatkan rawatan di sini,” katanya.
-RI