Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangorViral

Pelbagai Kisah Di Sebalik Tasik Biru Kundang

By 12 November 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Mohd Zaid Awang & Noriah Athan (Gombak)

SELAYANG, 11 Nov (Malaysiaaktif) – Tasik Biru Kundang yang merupakan salah satu kawasan riadah di bawah seliaan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) semakin menjadi sebutan ramai, terutama bagi penduduk Lembah Klang kerana keindahan serta jarak berhampiran Kuala Lumpur, iaitu lebih kurang 30 kilometer.

img-20161112-wa0002

Terletak di Kampung Setia, Tasik Biru yang dahulunya sebuah kolam lombong bijih timah kini menjadi destinasi rekreasi kegemaran ramai denagn persekitaran yang di kelilingi kawasan perumahan.

Pengerusi Komuniti 1Malaysia (K1M) Kampung Setia, Isa Mohd Yunus, 68, berkata tasik berkeluasan 28 hektar dengan kedalaman lebih 60 meter itu juga dipanggil Lombong Tembak kerana dahulunya proses melombong menggunakan kaedah menembak air ke tanah bagi mendapatkan bijih.

“Air yang jernih serta dalam telah memantulkan warna biru langit menjadikan ia kelihatan kebiruan dan nama Tasik Biru kekal hingga kini, namun warna itu semakin hilang sekarang kerana lumpur dan lumut yang banyak akibat pelbagai aktiviti di persekitaran tasik”, jelas Isa.

Pengerusi Komuniti 1Malaysia Kg.Setia,Isa Mohd Yunus

Pengerusi Komuniti 1Malaysia Kg.Setia,Isa Mohd Yunus

Beliau yang merupakan generasi kedua di kampung itu berkata kawasan tersebut asalnya ladang getah yang menjadi sumber pekerjaan utama penduduk waktu itu, sebelum aktiviti perlombongan bermula pada sekitar tahun 1970-an.

“Setelah lombong dibuka ia menjadi tempat penduduk persekitaran Kundang mencari rezeki, namun selepas aktiviti melombong ditamatkan, kawasan itu terbiar lebih kurang setahun dan digenangi air sedikit demi sedikit sehingga membentuk sebuah tasik”, katanya.

Isa turut memaklumkan bahawa tasik itu turut dikenali sebagai “tempat keras” kerana hampir setiap tahun berlaku kejadian orang meninggal dunia sama ada mati lemas atau bunuh diri, selain dijadikan sebagai lokasi upacara keagamaan orang bukan Islam untuk “buang bala.”

img-20161112-wa0004

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Mohd Nazri Paharurazi, 44, pula menceritakan tentang kenangan semasa kecil di situ yang merupakan kawasan dia bermain dengan kawan-kawan.

“Selepas kami bermain bola di padang sebelah, tasik ini menjadi tempat kami mandi beramai-ramai sebelum pulang ke rumah”, tambahnya.

Pengerusi JKKKP Kg.Setia, Mohd Nazri Paharurazi

Pengerusi JKKKP Kg.Setia, Mohd Nazri Paharurazi

Menurutnya, peristiwa yang tidak dapat dilupakannya apabila menyaksikan seorang kawannya mati lemas ketika mandi. Peristiwa tersebut menyebabkan dia takut untuk turun mandi di situ lagi sehingga sekarang.

“Mayat dijumpai sehari selepas kejadian kerana tersepit di celah-celah kayu dan ia menyebabkan saya trauma sehingga kini,” ujarnya.

Bekas pelombong, Ramli Hormin, 64, berkata pekerja-pekerja di situ terdiri daripada penduduk kampung persekitaran dan kawasan luar.

“Pada masa itu, terdapat lebih kurang 100 orang yang bekerja dengan syarikat perlombongan Bakap Mine Sendirian Berhad milik seorang usahawan berketurunan Cina. Kami bekerja dua syif , iaitu pagi dan petang”, ujar beliau.

Bekas pekerja lombong, Ramli Hormin

Bekas pekerja lombong, Ramli Hormin

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MPS, Mohd Zin Masaod memaklumkan Tasik Biru Kundang telah mengalami banyak perubahan dan kini semakin dikenali sebagai lokasi riadah hujung minggu, khasnya peminat jet ski dan kaki pancing.

“MPS dalam cadangan untuk mengindahkan lagi Tasik Biru Kundang untuk menarik pelancong dalam dan luar negeri dengan menyediakan beberapa kemudahan asas dan menjaga kebersihan sekitar”, katanya.

img-20161112-wa0001

Menurutnya, aspek keselamatan pengunjung juga diutamakan seperti meletakkan papan tanda larangan mandi kerana tasik tersebut tidak sesuai untuk mandi kerana kedalamannya.

-AAS

Tinggalkan komen anda