Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Paralimpiad Sarawak: Melaka Sasar 12 Emas

By 3 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Fauzrina Hj Bulka (Melaka)

MELAKA, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Suntikan semangat yang telah diperoleh hasil kejayaan besar oleh atlet Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII Sarawak yang baru sahaja selesai, Melaka kini menyasarkan 12 pingat emas untuk dibawa pulang bagi Kejohanan Paralimpiad Malaysia Ke-18 Sarawak 2016 pula.

Menurut Exco Kesihatan Dan Pembangunan Sukan, Datuk Abdul Rahaman Abdul Karim, janji ini akan menjadi realiti setelah tamat Paralimpiad Sarawak nanti yang bakal berlangsung bermula 6 hingga 10 Ogos ini.

“Melaka menghantar seramai 48 atlet berserta 23 pegawai yang bakal menyertai lapan daripada 10 pertandingan yang dianjurkan,” ujar Rahaman kepada pemberita dalam Majlis Penyerahan Bendera kepada atlet Sukan Paralimpiad di Kompleks Belia dan Sukan Melaka, petang tadi.

Penyerahan Bendera kepada atlet Paralimpiad

Penyerahan Bendera kepada salah seorang atlet Paralimpiad.

Tambahnya, kerajaan negeri Melaka telah menimbangkan untuk memberi insentif kepada semua atlet sekiranya mereka membawa balik kilauan emas melalui Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (PESRON).

“Saya telah cabar PESRON tadi supaya membawa balik emas, dan kalau mereka berjaya, kita akan sediakan hadiah insentif sebanyak RM7,000 kepada persatuan mereka. Di samping itu, untuk permulaan ini, kita akan memberi wang saku sedikit kepada PESRON supaya mereka di sana nanti selesa serba sedikit untuk berbelanja,” ujar Rahaman.

Ketika ditanya insentif untuk individu, Rahaman berkata beliau akan bawakan usul tersebut ke dalam mesyuarat EXCO akan datang.

“Rekod telah tercatat sewaktu Paralimpiad di Perlis dua tahun lepas, mereka telah membawa balik sebanyak 10 emas, 12 perak dan 13 gangsa. Sudah tentu, jumlah ini akan meningkat setelah kita adakan cabaran dan kita lihat mereka juga bersedia menyahut cabaran ini.

“Saya mendoakan semua atlet supaya selamat menjalani pertandingan dan terus sihat serta menjaga nama baik Melaka di samping menjaga disiplin dengan baik. Saya juga mengharapkan pihak pengurusan turut menjaga atlet dengan baik kerana mereka adalah duta kecil Melaka dalam acara tersebut,” kata Rahaman.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda