Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Kerajaan Terbeban Jika Penanaman Ketum Dikomersialkan – AADK

By 3 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kredit Foto: http://zaudinsaad.blogspot.my/

 

 Oleh: Fauzrina Hj Bulka (Melaka) / Kredit Foto: zaudinsaad.blogspot.my

MELAKA, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Kerajaan akan terbeban jika membenarkan cadangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bagi penanaman daun ketum secara komersial.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Azizan Ariffin berkata, kerajaan akan menanggung kos yang tinggi bagi pemulihan penagih yang terdiri daripada golongan muda.

Tambahnya, air ketum tidak boleh dijadikan ubat tradisional kerana terdapat unsur dadah dalam ketum itu sendiri. Malah, pihak kerajaan juga perlu mengkaji secara terperinci tentang kesan dan akibat kepada generasi akan datang jika cadangan RISDA itu diterima.

“Dalam keadaan membanteras kadar sedia ada sahaja pun, AADK hadapi masalah. Apatah lagi jika kerajaan terima cadangan itu yang pastinya akan bergelut dengan penambahan penagih yang terdiri daripada golongan anak muda,” ujar Azizan kepada pemberita ketika sidang media di MITC Ayer Keroh, petang tadi.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Abdul Rahman Hamid dan Pengarah AADK Negeri Melaka, Mohd Yusuf Kameh.

Feature - Ketum AADK

Kos pemulihan penagih dadah bakal membuatkan kerajaan berbelanja lebih banyak – Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Azizan Ariffin (tengah)

Menurutnya, itu merupakan sebab mengapa AADK bertegas membantah cadangan RISDA untuk mengkomersialkan penanaman ketum untuk dieksport ke luar negara.

Dalam pada itu, Azizan berkata, sebanyak 1,600 sarang penagihan dari 178 kawasan yang dikenal pasti di seluruh negara telah menjalani proses pemutihan setelah melalui pelbagai strategi dan program.

“AADK sangat komited dalam menangani kes penagihan dadah. Selain penguatkuasaan yang begitu ketat, kita juga membuat komuniti program bagi mendekati masyarakat agar rasa selamat serta program My Beautiful Malaysia.

“Ini juga bertepatan dengan momentum tahun 2016 iaitu tahun perangi dadah habis-habisan. Sarang penagihan akan dibersihkan dan dijadikan kawasan riadah. Di samping itu, kita juga sentiasa mengesan sarang-sarang baru,” katanya.

Program My Beautiful Malaysia adalah salah satu daripada Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara AADK dengan agensi serta masyarakat dan diadakan di seluruh negara bagi mewujudkan jalinan mantap dalam usaha mencegah bahaya dadah daripada terus merebak.

Terdahulu, Malaysiaaktif turut melaporkan bahawa Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Hasan Abdul Rahman turut tidak bersetuju cadangan RISDA untuk mengkomersialkan penanaman ketum.

Ini berikutan cadangan Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin kepada kerajaan untuk mengusahakan projek perintis penanaman ketum di negeri di utara Semenanjung sebelum penanaman secara besar-besaran dilaksanakan di seluruh negara.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda