Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelakaViral

Melaka Tidak Sokong Ketum Dikomersialkan

By 3 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kredit Foto: http://www.kratomfarm.com/

 

 Oleh: Fauzrina Hj Bulka (Melaka) / Foto: kratomfarm.com

MELAKA, 2 Ogos (Malaysiaaktif) – Melaka bertegas tidak menyokong cadangan Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Zahidi Zainul Abidin agar daun ketum ditanam bagi tujuan eksport.

Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka, Datuk Hasan Abdul Rahman berkata demikian kepada Malaysiaaktif ketika ditemui di Majlis Sambutan Aidilfitri di Jabatan Pengangkutan Jalan, Bukit Katil pagi tadi.

RISDA sebelum ini memohon agar kerajaan membenarkan pekebun kecil di negara ini menanam pokok ketum untuk dieksport ke luar negara bagi meningkatkan pendapatan golongan berkenaan.

Menurut Hasan, cadangan demikian hanya akan menimbulkan kesan negatif kepada negara dari segi jangka panjang.

“Generasi sekarang pun dah tahu baik buruk penggunaan daun ketum. Dibimbangi anak-anak tak mahu pergi sekolah. Tak mahu belajar, sebab sehelai daun dah boleh buat duit,” katanya.

Tambahnya, banyak lagi cara lain yang boleh menjana pendapatan negara dan membantu pekebun kecil seperti tanaman cendawan mahupun sayur.

Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka, Datuk Hasan Abdul Rahman berkata penanaman daun ketum hanya akan memberi kesan negatif kepada negara.

Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka, Datuk Hasan Abdul Rahman berkata penanaman daun ketum hanya akan memberi kesan negatif kepada negara.

“Dengan getah juga kita boleh buat macam-macam seperti ukiran dan perabot. Semua ini boleh tambah pendapatan.

Bagaimanapun ketika ditanya perkembangan di Melaka, menurutnya sehingga kini negeri ini bersih dari gejala ketum dan penanaman pokok ketum.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan,  Datuk Seri Dr S.Subramaniam turut mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju dengan cadangan RISDA dan berkata ketum mempunyai ciri-ciri seperti ganja dan heroin yang boleh mendatangkan kesan negatif.

“Kita tidak sokong apa yang dicadangkan oleh RISDA agar ketum ditanam untuk tujuan perubatan walaupun mendapat permintaan tinggi dari beberapa syarikat farmasi dari Amerika Syarikat dan Eropah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program penyerahan uniform Pakaian Operasi Digital (P.O.V) Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan sambutan Hari Raya RELA daerah Segamat pada 30 Julai lalu.

Daun ketum didakwa mampu mengubati beberapa jenis penyakit sejak zaman duhulu lagi dan terkenal sebagai alternatif perubatan moden untuk memulihkan tenaga, rawatan kolesterol, kencing manis dan cirit-birit.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda