Skip to main content
HomeViral

Balai Gambang Kekal Reka Bentuk, Tradisi Istiadat Pertabalan

By 13 Mei 2015Tiada komen3 minit bacaan

 

PASIR SALAK, 13 Mei — Pembinaan Balai Gambang, sejenis rakit besar atau bot berhias, bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Nazrin Shah sebagai Sultan Perak Ke-35 masih mengekalkan reka bentuk dan hiasan tradisi Melayu Perak seperti yang pernah digunakan semasa pertabalan Sultan Azlan Shah.

Sultan Nazrin Shah akan menggunakan Balai Gambang itu, yang dinamakan ‘Cempaka Sari’, untuk menziarah lima makam Sultan Perak di sepanjang Sungai Perak dari Pasir Salak ke Teluk Intan.

Makam berkenaan ialah Makam Almarhum Sultan Mahmud Shah (Sultan Perak ke-16) di Kampung Pasir Pulai, Sultan Abdul Malik Mansur Shah (Sultan Perak ke-19) di Kampung Bandar Baru, Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda (Sultan ke-17) di Kampung Teluk Memali, Sultan Shahabuddin Riayat Shah (Sultan ke-21) di Tanjung Penangguh dan Sultan Iskandar Dzulkarnain (Sultan ke-15) di Pulau Indera Sakti Pasir Panjang Ulu.

 

20150513002955 (2)

Foto: Malaysiaaktif

 

Sultan Nazrin akan turut menggunakan Balai Gambang pada 14 Mei untuk menziarah serta mencelupkan kaki baginda di Beting Beras Basah yang terletak di pesisir sungai di Bagan Datoh berhampiran muara Sungai Perak.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak Datuk Dr Safry Kamal Ahmad berkata pihaknya bekerjasama dengan Institut Teknologi Kejuruteraan Marin, Universiti Kuala Lumpur Malaysia (UniKL MIMET) di Lumut untuk membina Balai Gambang.

“Sejumlah 35 kakitangan JKR serta 13 orang yang terdiri daripada tenaga pakar dan pelajar UniKL terlibat dengan pembinaan tersebut,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

20150513002955

Foto: Malaysiaaktif

 

Beliau berkata meskipun reka bentuknya sama, saiz Balai Gambang kali ini lebih kecil berbanding yang terdahulu kerana Sultan Nazrin Shah tidak akan bersemayam atau beradu di atas Balai Gambang berkenaan.

Balai Gambang kali ini, yang berukuran 12.2 meter panjang dan 6.1 meter lebar dengan berat 4.5 tan serta mampu membawa 10 hingga 15 penumpang pada satu-satu masa, akan digerakkan oleh tiga buah enjin sangkut yang masing-masing berkuasa kuda 150 sentimeter padu (cc).

Safry Kamal berkata Balai Gambang itu akan dikendali dua jurumudi khas daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.

“Mereka merupakan anak beranak dan si bapa mempunyai pengalaman mengemudikan Balai Gambang ketika istiadat pertabalan Almarhum Sultan Azlan Shah,” katanya.

Beliau berkata segala aspek perlu diberi perhatian termasuk kedalaman Sungai Perak yang telah pun berubah berbanding 30 tahun lepas.

“JPS dan Tenaga Nasional Berhad dipertanggungjawabkan untuk mengawal paras mengikut pelepasan air dari Empangan Chenderoh.

Ini bagi memastikan kedalaman air mencukupi supaya Balai Gambang itu dapat belayar dengan sempurna,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Akademik UniKL Zaimi Zainal Mukhtar berkata pihaknya terlibat dalam menentukan reka bentuk, simulasi bagi kestabilan serta pembinaan badan dan dek Balai Gambang berkenaan.

Beliau berkata kerja-kerja pembinaan Balai Gambang dilakukan di Litar Datuk Sagor di sini, yang bermula sejak Januari lepas.

“Bahan yang digunakan bagi pembinaan Balai Gambang ialah gentian kaca yang lebih ringan dan kuat dan kami juga menggunakan kayu dan besi untuk struktur yang lebih kukuh,” katanya.

Balai Gambang dikatakan diperkenal oleh Sultan Iskandar Dzulkarnain, Sultan Perak ke-15, semasa baginda berpindah tempat bersemayam dari Pulau Cempaka Sari ke Pulau Indera Sakti di daerah Perak Tengah pada tahun 1754.

Bagaimanapun, hanya pada tahun 1770 ia mula diguna sebagai alat kelengkapan khusus untuk istiadat pertabalan iaitu semasa pertabalan Sultan Perak ke-16 Sultan Mahmud Shah atau Marhum Muda.

Sejak mula diperkenal sehingga tahun 1948, Balai Gambang diperbuat daripada buluh kuning atau buluh gading.

Bagaimanapun, semasa pertabalan Sultan Idris Shah pada tahun 1963, kayu dan besi diguna bagi menggantikan buluh sekali gus menjadikan Balai Gambang sebuah binaan yang lebih teguh dan kemas.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda