
KUALA LUMPUR, 24 Mei (Malaysiaaktif) — Pada 19 Mei 2015, Kementerian Luar Negeri Malaysia telah memanggil Medardo G. Macaraig, Charge d’ Affaires Kedutaan Besar Republik Filipina berkaitan kenyataan Presiden Republik Filipina, Benigno S. Aquino III, mengenai tuntutan Filipina ke atas Sabah dalam satu sesi temubual yang diadakan oleh Wartawan Raissa Robles pada 15 Mei 2015.
Kerajaan Malaysia menegaskan pendiriannya bahawa Malaysia tidak mengiktiraf dan tidak akan melayan sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak ke atas Sabah. Sabah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian dari Malaysia sejak 16 September 1963.
Dalam temu bual itu Presiden Aquino secara mutlak menyatakan beliau tidak akan menggugurkan tuntutan Filipina ke atas Sabah.
Kenyataan beliau itu didapati bertentangan dengan apa yang disuarakan oleh pengkritik perundangan beliau berhubung autonomi Muslim (Undang-Undang Asas Bangsamoro).
–AAS