
KAHERAH, 4 Jun — Mahkamah Rayuan Mesir mengarahkan bekas Presiden Hosni Mubarak dibicarakan semula di atas pembunuhan penunjuk perasaan pada 2011.
Hakim menerima rayuan pendakwa raya di atas keputusan mahkamah menggugurkan kes Hosni sebelum ini.
Dalam perbicaraan semula pada 2014 mahkamah mendapati beliau tidak bersalah setelah asalnya dikenakan hukuman penjara seumur hidup bersabit kematian 800 orang sewaktu kebangkitan revolusi Mesir.
Awal tahun ini, beliau secara berasingan disabitkan rasuah dan dihukum tiga tahun penjara.
Hosni, 87 tahun kini berada di hospital Tentera Maadi, Kaherah.
Hakim berkata Hosni akan dibicarakan semula pada 5 November. Ini merupakan kali ketiga kes itu didengar.
Mubarak disabitkan dengan konspirasi untuk membunuh pada Jun 2012, tetapi perbicaraan semula diperintahkan kerana berlaku kekhilafan teknikal tahun berikutnya. Keputusan untuk menggugurkan caj mencetuskan protes yang membawa kepada pertempuran di antara penunjuk perasaan dan polis berhampiran Medan Tahrir.
Hosni yang berkuasa selama hampir 30 tahun, meletak jawatan pada Februari 2011 berikutan bantahan besar-besaran terhadap pemerintahannya.
Beliau juga menghadapi beberapa siri perbicaraan bersabit pembunuhan dan rasuah. Tiga tahun beliau ditahan bermakna beliau telah menjalani penjara tiga tahun kerana kesalahan penggelapan wang.