
RANAU, 16 Jun (Malaysiaaktif) — Dalam era digital dengan pelbagai platform Internet, seperti Facebook, Twitter, antara lain, ramai yang begitu ghairah menjadi wartawan atau pelapor siber, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Rahman Dahlan sewaktu lawatan ke sini pada Isnin.
Tetapi, terdapat ramai dalam kebanyakan kes memberi laporan yang salah, hingga ada yang menjurus kepada fitnah.
Menurut Rahman, contoh terbaharu, seperti yang berlaku apabila satu gambar diambil semasa seorang pegawai bomba dari Ranau yang dikenali sebagai Jimmy sedang makan ketika kerja-kerja menyelamat berjalan di Gunung Kinabalu.
Berikutan berita itu, beliau dicaci dan dikutuk di media sosial sedangkan ramai yang tidak menyedari bahawa beliau antara yang paling awal sampai di lokasi bencana gempa bumi.
Semasa gambar diambil Jimmy sedang berehat setelah bertungkus-lumus bekerja lebih 48 jam tanpa henti.
Rahman yang juga berasal dari Sabah, memuji usaha gigih dan sifat dedikasi beliau sebagai anggota bomba dan penyelamat.
Di penjuru lain, seperti di puncak Gunung Kinabalu, masalah yang sama juga berlaku apabila ‘wartawan’ siber membuat ‘posting’ gambar anggota penyelamat yang kononnya menarik mayat, walhal anggota berkenaan baru mengangkat bahagian kepala mayat sebelum rakannya mengangkat kaki mayat.
Rakaman foto hanya merekodkan dan membekukan satu pergerakan, lantaran dilihat ramai sebagai kelakuan biadab.
Rahman mengingatkan ‘wartawan’ siber supaya jangan terlalu teruja membuat ‘posting’ berita sebelum mengesahkan kejadian.