Skip to main content
EkonomiHomeViral

PAC Peroleh Lebih banyak Maklumat Baharu Mengenai 1MDB

By 18 Jun 2015Tiada komen3 minit bacaan

 

 KUALA LUMPUR, 18 Jun – “Mereka sepatutnya berasa bimbang.” Ini pandangan Jawatankuasa Wang Ngegara (PAC) mengenai ketua-ketua pegawai eksekutif 1MDB yang dahulu dan sekarang, Arul Kanda Kandasamy dan Shahrol Halmi.

Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata setelah menyoal pihak juruaudit, jawatankuasa itu kini mendapati lebih banyak soalan perlu diajukan kepada mereka berdua apabila berhadapan dengan PAC Ogos depan.

“Kami bagi mereka masa yang secukupnya dan bukan lebih masa untuk menyiapkan diri. Mereka seharusnya berasa lebih bimbang kerana kami sekarang mempunyai lebih banyak soalan untuk mereka,” beliau memberitahu wartawan kelmarin.

Berikutan perkembangan terbaharu ini, Arul Kanda berkata beliau dipanggil untuk berdepan dengan jawatankuasa itu pada 5 Ogos dan membayangkan bahawa beliau sememangnya akan menghadiri penyiasat tersebut.

Arul Kanda gagal hadir pada 26 Mei lalu di atas alasan beliau berada di luar negara untuk urusan perniagaan.

“Tujuan kehadiran saya nanti di hadapan jawatankuasa itu ialah sebagai reaksi kepada soalan-soalan yang mereka ingin ajukan.

“Dengan kehadiran nanti, saya yakin anggota-anggota panel PAC akan memberikan saya peluang adil untuk menjelaskan kedudukan 1MDB kepada pihak yang sah.

Arul Kanda berkata dalam satu kenyataan bahawa PAC adalah pihak berkuasa dan platform yang wajar untuk menjawab segala persoalan.

Beliau juga berkata pasukan 1MDB akan fokus kepada usaha merealisasikan pelan rasionalisasi yang dibentangkan kepada Kabinet pada 29 Mei.

“Kami berjaya membayar balik pinjaman berjumlah RM3.6bil dan dalam sedikit masa lagi akan mengemukakan permohonan bagi cadangan pelabur ekuiti dalam projek Bandar Malaysia, selaras dengan pelan rasionalisasi,” kata Arul Kanda.

Pada mulanya, PAC bercadang memanggil kedua-dua mereka serentak pada hari yang sama awal Ogos, tetapi menukar rancangan dan akan memanggil mereka secara berasingan.

Nur Jazlan berkata mereka dipanggil berasingan kerana terdapat maklumat baharu yang diperoleh PAC.

Sharol akan dipanggil pada 4 Ogos.

Menurut Nur Jazlan, Mohd Hazem Abd Rahman yang memegang jawatan pengarah urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB buat seketika, juga akan dipanggil untuk memberikan keterangan pada 6 Ogos.

Terdahulu, beliau menggambarkan penyiasatan oleh PAC berhubung peranan KPMG sebagai satu-satunya juruaudit dari 2010 hingga 2012 sebagai “sumber maklumat yang amat berguna.”

Beliau berkata KPMG memainkan peranan sebagai juruaudit semasa 1MDB mengikat beberapa kontrak besar, termasuk dengan PetroSaudi.

Nur Jazlan berkata “Mereka (KPMG) memberikan kerjasama…kami juga menyoal mereka mengenai penghematan dan pengurusan risiko.”

Beliau berkata bekas pengarah 1MDB, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Bhd, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan Pengerusi RHB Bank Tan Sri Azlan Zainol juga akan dipanggil pada 17 Ogos bersama ahli-ahli lembaga.

Pada awal Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Peguam Negara memulakan siasatan bebas ke atas 1MDB dan memberi jaminan bahawa syarikat berkenaan akan dihadapkan dengan tindakan undang-undang sekiranya sebarang salah laku dibuktikan.

PAC memulakan siasatan sendiri ke atas 1MDB dan sejak dari itu perkara tersebut menjadi isu politik.

Laporan akhir akan dibentangkan kepada Parlimen.

Kemudian, di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan muncul menafikan pinjaman sejumlah RM540 juta diberikan kepada 1MDB oleh Exim Bank untuk membeli tanah di Pulau Indah.

Beliau berkata, “Buat masa sekarang maklumat yang saya ada, pinjaman itu ialah untuk membayar kos penyelenggaraan dan naik taraf jana kuasa milik 1MDB di seberang laut.”

 

 

Tinggalkan komen anda