
Oleh Syed Muhammad Fauzi Syed Mostapha & Farahdila Wati Mohd Khamde Khuzaini
PUTRAJAYA, 27 Jun (Malaysiaaktif) – Mereka yang berasal dari Kelantan tidak lagi perlu bimbang kesesakan dan menghabiskan masa berjam-jam di jalan raya setiap kali tiba musim perayaan.
Dengan pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu – Kuala Kerai yang dijangka siap dalam masa tiga ke empat tahun lagi diharap akan dapat melancarkan perjalanan mereka pulang ke kampung.
Ini antara yang diperjelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar ketika berucap pada seminar ‘RMK11 – Apa Maknanya Kepada Orang Ramai’ kelmarin.
Beliau berkata, bagi penduduk di Sabah dan Sarawak pula, Lebuh Raya Pan Borneo dibina dengan tujuan membangunkan sistem pengangkutan dan jalan raya. Begitu juga dengan Lapangan terbang Mukah yang dalam pembinaan.
Kewujudan Malaysia Vision Valley sebagai satu lagi pembangunan bersepadu baharu di sekitar Nilai, Seremban, dan Port Dickson juga dilihat dapat melengkapi pembangunan di Putrajaya. Menerusi projek ini, perjalanan dari Putrajaya ke Port Dickson akan mengambil masa kurang dari sejam.
Menurut beliau lagi, matlamat utama RMK 11 ialah supaya rakyat menikmati kualiti hidup yang lebih baik.
Abdul Wahid berkata ini boleh dinilai daripada kadar kemiskinan negara dan juga indeks yang ditentukan Unit Perancang Ekonomi (EPU), seperti jumlah pendapatan, penjagaan kesihatan dan komponen lain yang membantu untuk mengukur secara holistik.
Untuk merealisasikan matlamat tersebut, lebih ramai pakar perubatan akan disediakan, menjadikan nisbah doktor meningkat kepada seorang doktor bagi setiap 400 penduduk.
Beliau berkata, menjelang 2020, Malaysia berhasrat menjadi negara yang penduduknya berpendapatan tinggi. Ke arah matlamat itu, tumpuan akan diberikan kepada pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) untuk meningkatkan tahap pendidikan dan kemahiran baharu.
Selain itu, Abdul Wahid berkata, matlamat lain termasuk mengurangkan kadar jenayah dengan bantuan Teknologi, seperti menggunakan data besar (big data), meningkatkan liputan dan memantapkan perkhidmatan kelajuan jalur lebar.
Beliau berharap masyarakat Malaysia lebih bermuhasabah diri dan tidak terlalu cepat percaya isu-isu di media massa.
Kira-kira 50 orang hadir pada seminar yang berlangsung di Razak School of Government (RSOG) di sini.