Skip to main content
HomeViral

Pemilihan UMNO Tahun Depan Ditangguh 18 Bulan

By 27 Jun 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 26 Jun — Pemilihan UMNO yang dijadual pada tahun depan akan ditangguhkan selama 18 bulan bagi memberi keutamaan terhadap khidmat parti kepada rakyat serta usaha memperkukuhkan parti itu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Majlis Tertinggi (MT) UMNO mengambil ketetapan itu mengikut Fasal 10.16 perlembagaan parti yang memberi hak kepada MT untuk menangguhkan pemilihan di peringkat MT, bahagian dan cawangan.

“Penangguhan ini tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan.

“Majlis Tertinggi berpendapat bahawa amat penting kita mementingkan kepentingan rakyat, mesti utamakan khidmat kita kepada rakyat, memberi tumpuan kepada segala keperluan rakyat sama ada di peringkat dasar mahupun akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MT di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Hadir sama pada sidang itu ialah Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiga Naib Presidennya iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Perdana Menteri berkata penangguhan itu juga bagi memberi tumpuan kepada pengukuhan parti dan kerja-kerja yang sepatutnya supaya UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) lebih mantap dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Najib berkata ia bukan satu keputusan yang luar biasa kerana pernah dilakukan ketika zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi berasaskan rasional yang sama.

“Ini bukan bererti bahawa UMNO bukan merupakan parti yang demokratik, menafikan semangat demokrasi dan keterbukaan tetapi bila sampai pada masanya kita akan mengamalkan ruang untuk melakukan pemilihan,” katanya.

Katanya MT turut membuat keputusan supaya kaedah pemilihan dilihat secara mendalam dengan mendapatkan pandangan semua pihak bagi mendapatkan kaedah lebih sesuai.

Ada pendapat-pendapat yang kita terima, kelemahan-kelemahan yang berlaku pada pemilihan yang lalu tapi kita masih tetap dengan prinsip demokrasi dalam parti,” katanya.

Najib turut meminta anggota UMNO menjalankan kerja-kerja di peringkat akar umbi berdasarkan petunjuk prestasi utama yang telah ditetapkan parti.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda