
Oleh: Faris Fuad
KUALA LUMPUR, 31 Julai (Malaysiaaktif) – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengambil inisiatif mengadakan Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) bagi membanteras sebarang bentuk penyelewengan.
Program tersebut disertai secara sukarela oleh 20 wakil Institut Memandu Negeri Selangor dan enam wakil institut Wilayah Persekutuan.
“Integriti bukan hanya untuk menyelesaikan masalah rasuah, bagaimana jati diri kita, bagaimana kita menjalankan tugas dan amanat, Institut Memandu satu elemen penting di JPJ dan juga negara” kata Pengarahnya, Datuk V. Valluvan.
“Mereka golongan yang mendidik dan melahirkan pemandu untuk memandu di negara kita. Baik dan buruknya pemandu adalah secara tidak langsung bergantung kepada institut”
“Jika tenaga pengajar mengamalkan konsep integriti maka cara pemanduan di Malaysia akan lebih selamat”
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM Putrajaya, Datuk Haji Mohamad Yusoff berpendapat lafaz ikrar tersebut merupakan janji organisasi mewujudkan persekitaran perniagaan bebas daripada rasuah.
“Ikrar integriti korporat merupakan dasar komitmen sebuah organisasi akan menyokong lima prinsip utama untuk mencegah rasuah”