Skip to main content
HomeViral

Rais Yatim Saran Poh Kong Tarik Balik Video Raya ‘Ode to Joy’

By 7 Julai 2015Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Oleh : Syed Hisham Syed Hilmi

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Malaysiaaktif/ EKSKLUSIF) – Belum pun reda isu iklan Aidilfitri yang disangka paparan seekor ‘babi’ mengucapkan selamat hari raya, kini timbul pula persoalan tentang penggunaan lagu latar dalam sebuah iklan komersial hari raya yang dikatakan kurang sesuai dengan sensitiviti masyarakat Melayu-Islam.

Sekali tonton iklan raya Ode to Joy yang digunakan oleh rangkaian kedai emas Poh Kong mungkin tidak ada cacat celanya, namun apabila mendengar lagu latar yang digunakan di dalam iklan komersial tersebut ternyata memberi persepsi berbeza apabila perayaan hari raya secara simboliknya seolah-olah disamakan dengan perayaan Krismas.

Irama gubahan Beethoven Ode to Joy Symphony No.9 merupakan sebuah lagu yang diilhamkan penyair Jerman Johann Christoph Friedrich von Schiller pada 1785. Kini lagu tersebut digunakan di seluruh dunia sebagai lagu yang meraikan kegembiraan dan persaudaraan. Lagu tersebut juga amat sinonim dengan Karol Krismas dan ‘Hymn’ di gereja.

 

Bagaimanapun pengurus pemasaran Poh Kong Holdings Berhad, Melissa Tham, menjelaskan bahawa lagu Ode to Joy tidak ada kena mengena dengan perayaan Hari Natal.

“Lagu tersebut sebenarnya digubah untuk meraikan persaudaraan dan perpaduan dalam masyarakat yang di inspirasi daripada sebuah persahabatan. Ia juga digunakan di seluruh dunia sebagai lagu tema untuk filem-filem dan acara sukan seperti penyiaran sukan Olimpik.”

Beliau berkata, “Disebabkan itulah Poh Kong menggunakan Ode to Joy sebagai tema lagu kempen kerana ia menggambarkan perpaduan dan kita mahu memberi tumpuan kepada ‘Joy’ sebagaimana semua perayaan melibatkan kegembiraan”, katanya melalui balasan e-mel kepada wartawan MalaysiaAktif.

Melissa juga mengakui bahawa lagu ini turut digunakan dalam iklan komersil lain syarikat mereka seperti iklan Hari Ibu, Tahun Baharu Cina dan juga perayaan Deepavali.

Bagaimanapun, video ini mencetuskan persepsi berbeza bagi Penasihat Sosio-Budaya kepada Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim.  Beliau berpendapat pihak agensi pengiklanan seharusnya lebih peka dengan suasana menyambut perayaan itu sendiri selaras dengan norma hidup masyarakat rumpun Melayu.

 

raistana

Tan Sri Rais Yatim: “Guna muzik lain sebagai gubahan lebih mesra dan dekat dengan penonton/pengguna sasaran…” Foto: AAS/Malaysiaaktif

 

“Seharusnya pemilihan lagu perlu sesuai dan kena dengan sasaran pengguna yakni orang Melayu yang menyambut Aidilfitri, suasana ketika Ramadan itu sendiri dan jualan produk syarikat tersebut. Ternyata tidak ada hubung kaitnya ketiga-tiga perkara di atas dengan pemilihan lagu itu”

“Biarpun menggunakan gambus sebagai elemen utama lagu tersebut, pihak pengiklanan boleh menggunakan muzik lain sebagai gubahan yang lebih mesra dan dekat dengan penonton/pengguna sasaran”, ujar beliau lagi ketika dihubungi MalaysiaAktif.

Tan Sri juga mengesyorkan agar penyiar iklan komersil tersebut menarik balik penayangannya dan lagu itu ditukarkan kepada lagu yang lain.

 

Tinggalkan komen anda